Selasa, 7 April 2020 | 12:15pm
3M akan menyediakan jutaan topeng muka dalam usaha menangani pandemik COVID-19. - Foto AFP
3M akan menyediakan jutaan topeng muka dalam usaha menangani pandemik COVID-19. - Foto AFP

3M jalin kerjasama sediakan 55.5 juta topeng muka

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semalam mengumumkan satu perjanjian dimeterai dengan kilang gergasi di negara itu, 3M bagi menyediakan jutaan topeng muka dalam usaha menangani pandemik COVID-19 selepas berlaku pertikaian berhubung pengedaran asing.

“Kami sudah mencapai kata sepakat dengan 3M bagi penghantaran tambahan 55.5 juta topeng muka berkualiti tinggi setiap bulan.

“Kami juga akan mendapat sejumlah 166.5 juta topeng muka dalam jangka masa beberapa bulan ini khusus untuk pekerja kesihatan barisan hadapan,” katanya.

Minggu lalu, Trump menyerang syarikat pengeluar kelengkapan kesihatan di negara itu kerana tidak mengedarkan topeng muka untuk keperluan rakyat.

Antaranya syarikat 3M turut menerima kritikan kerana dikatakan tidak patriotik apabila menjual topeng muka N95 kepada negara lain.

Sementara itu, pengerusi 3M, Mike Roman berkata, mereka akan membantu sebaik mungkin bagi menyediakan topeng muka khusus untuk rakyat di negara itu.

“Ketika ini, di Amerika Syarikat permintaan topeng muka pernafasan melebihi pengeluaran.

“Kami bekerja keras setiap hari bagi memastikan pengeluaran yang lebih banyak daripada kapasiti biasa,” katanya.

Bagaimanapun, 3M berkata, mereka akan terus menjual topeng muka kepada negara lain antaranya Kanada dan Amerika Latin. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X