Rabu, 8 April 2020 | 10:58am

COVID-19: AS, China capai perdamaian berhubung pandemik

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan China yang saling melemparkan kata-kata pedas berhubung isu pandemik COVID-19, mencapai perdamaian dengan kedua-dua pihak sekurang-kurangnya melihat ‘kepentingan taktikal dalam bertenang’.

Presiden Donald Trump yang tidak asing lagi dengan keceluparannya, tidak lagi menggunakan istilah provokatif ‘virus China’ dan berhenti mengkritik tindak balas Beijing, sejak perbualan telefon dengan rakan sejawatnya, Xi Jinping, 26 Mac lalu.

Setiausaha Negara, Mike Pompeo - yang berkeras menyatakan ‘virus Wuhan’ sehingga Menteri Luar daripada Kumpulan Tujuh tidak dapat mengeluarkan kenyataan bersama - kini bersuara mengenai kerjasama.

“Kita tahu ia adalah pandemik global, dan inilah masa untuk setiap negara bekerjasama menyelesaikannya,” kata Pompeo kepada pemberita ketika ditanya mengenai China, semalam.

Bulan lalu, China mencetuskan kemarahan AS apabila seorang jurucakap Kementerian Luar menyebarkan teori konspirasi mendakwa tentera AS membawa virus itu ke Wuhan.

Duta China ke Washington, Cui Tiankai, bagaimanapun menggunakan nada amat berbeza dalam penerbitan The New York Times di mana beliau memperkatakan mengenai kasih sayang dan berjanji bahawa China akan melakukan ‘segala yang termampu untuk menyokong AS’.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Morgan Ortagus, mengalu-alukan kenyataan Tiankai, namun meminta China untuk berkongsi data berhubung virus itu dan membenarkan kebebasan bersuara.

“Kerjasama sebenar memerlukan ketelusan dan tindakan nyata, bukan sekadar retorik,” katanya.

Begitupun, ramai pemerhati melihat langkah Trump menyalahkan Beijing sebagai satu tindakan politik selepas beliau dikritik kerana tidak bertindak lebih awal untuk menghentikan penularan wabak COVID-19 yang kini meragut lebih 12,000 nyawa di AS.

Namun dengan kekurangan bekalan perubatan yang kritikal, Trump juga memerlukan China yang menghasilkan separuh daripada bekalan topeng muka diimport AS.

Pengarah Kajian Asia di Majlis Hubungan Luar, Elizabeth Economy, berkata Washington sudah pasti tidak mahu mengasingkan Beijing sehingga tahap ia mengharamkan penjualan peralatan perubatan kepada AS.

“Ia juga mencerminkan sentimen lebih luas di sebahagian besar AS bahawa ini bukanlah masa untuk permainan ‘saling menyalahkan’ pada peringkat antarabangsa - keutamaan harus diberi kepada menyelamatkan nyawa rakyat AS dan yang lain,” katanya. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X