Rabu, 8 April 2020 | 12:54pm
Greg Mortimer terkandas susulan sebahagian penumpang dan kru kapal persiaran itu disahkan positif COVID-19. - FOTO AFP
Greg Mortimer terkandas susulan sebahagian penumpang dan kru kapal persiaran itu disahkan positif COVID-19. - FOTO AFP

COVID-19: Penerbangan kemanusiaan pindahkan penumpang kapal persiaran terkandas

MONTEVIDEO: Uruguay semalam memaklumkan, pihaknya telah membenarkan satu penerbangan kemanusiaan bagi memindahkan penumpang warga Australia dan New Zealand yang terkandas dalam sebuah kapal persiaran terjejas dengan jangkitan COVID-19.

Kira-kira 128 daripada 217 orang di atas kapal Greg Mortimer milik Australia, termasuk penumpang dan kru, disahkan positif virus itu.

Enam daripada mereka meliputi tiga warga Australia, Filipina (dua) dan Britain (seorang), telah dibawa untuk mendapatkan rawatan di ibu kota ini.

Ia merupakan perkembangan terkini melanda industri kapal persiaran global di mana kapal dihalang berlabuh selepas mencatatkan kes jangkitan disahkan ketika pandemik COVID-19.

Pemilik kapal persiaran itu, Aurore Expeditions, telah ‘menempah sebuah pesawat perubatan... bagi membawa pulang penumpang warga Australia dan New Zealand,’ kata Kementerian Luar Uruguay sambil menambah bahawa pesawat terbabit diberi kebenaran untuk mendarat, esok.

Menurut Aurore, kira-kira 100 warga Australia berada di atas kapal berkenaan, dan rundingan sedang dijalankan bagi membolehkan penumpang New Zealand turut menaiki pesawat terbabit nanti.

Bagaimanapun, katanya, tiada dalam kalangan mereka yang masih berada di atas kapal itu, mengalami demam panas.

Menurut Aurore lagi, pesawat Airbus A340 terbabit pula ‘dilengkapi kemudahan perubatan... untuk menjaga kesihatan dan keselamatan setiap orang.’

Pesawat itu akan membawa kedua-dua penumpang yang disahkan negatif dan juga positif virus berkenaan.

Ia dijangka tiba dari Portugal sebelum terbang ke Melbourne di mana semua penumpang kemudian akan dikehendaki kuarantin selama dua minggu.

Menteri Luar, Ernesto Talvi, memaklumkan melalui Twitter bahawa satu persetujuan dicapai melalui ‘perbincangan mendalam dan kerjasama amat rapat dengan Kerajaan Australia’.

Syarikat itu menjelaskan, penumpang warga Eropah dan Amerika Syarikat (AS) di atas kapal Greg Mortimer pula perlu menunggu sehingga disahkan negatif jangkitan, sebelum diuruskan untuk pulang melalui Sao Paulo.

Kedutaan Britain di Montevideo memberitahu AFP bahawa terdapat lima warganya berada di atas kapal persiaran itu.

“Kita sedang giat berusaha mencari jalan untuk membawa mereka pulang dengan selamat ke United Kingdom (UK),” kata jurucakap, Veronica Psetizki. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X