Rabu, 8 April 2020 | 4:52pm
Dalam foto fail ini diambil pada 09 Oktober 2019, bekas Presiden Ecuador (2007-2017) Rafael Correa mengadakan sidang akhbar di Parlimen Eropah di Brussels. - Foto AFP
Dalam foto fail ini diambil pada 09 Oktober 2019, bekas Presiden Ecuador (2007-2017) Rafael Correa mengadakan sidang akhbar di Parlimen Eropah di Brussels. - Foto AFP

Bekas Presiden Ecuador dihukum penjara 8 tahun

QUITO: Bekas Presiden Ecuador, Rafael Correa dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun tanpa hadir di penjara kerana rasuah sepanjang tempoh 10 tahun beliau memegang jawatan, menurut Pejabat Peguam Negara, semalam.

Correa menjadi presiden pada tahun 2007 hingga 2017 kini tinggal dalam buangan di Belgium, tempat kelahiran isterinya, adalah antara 18 orang yang disabitkan dengan rasuah.

Beliau antara individu paling berpengaruh dalam politik Amerika Latin, sering mendakwa menjadi mangsa penganiayaan politik, menuduh peguam negara terbabit.

Correa juga meminta supaya dibebaskan daripada hukumannya berikutan didapati bersalah menerima dana daripada syarikat persendirian untuk kempen pilihan raya 2013 dan sebagai balasan mendapat kontrak negeri.

"Saya tahu proses itu dan apa yang dikatakan hakim adalah palsu, mereka tidak membuktikan apa-apa dan semuanya tiada bukti," menurut ciapannya di Twitter.

Peguam Negara, Diana Salazar, berkata pelbagai jenis perniagaan membayar sebanyak AS$7 juta (RM30.4 juta) sebagai rasuah untuk mendapatkan kontrak dan Correa sendiri didapati terbabit dengan sejumlah AS$6,000 (RM26,073) dimasukkan ke akaunnya dengan mendakwa ia adalah pinjaman.

Selain itu, turut dipenjarakan ialah bekas naib presiden, Jorge Glas yang mana sejak 2017 menjalani hukuman penjara enam tahun dalam satu kes berasingan kerana rasuah.

Mahkamah turut melarang semua pesalah daripada terbabit dalam politik selama 25 tahun, selain Perlembagaan Ecuador turut menyatakan perkara sama.

"Inilah yang mereka inginkan, manipulasi kebenaran untuk mencapai apa yang tidak boleh peroleh pada peti undi. Kami yakin, akan menang untuk rayuan di peringkat antarabangsa kerana ini semua adalah mengarut," kata Correa.

Bekas setiausaha undang-undang Correa, Alexis Mera, berkata, beliau akan membuat rayuan terhadap sabitannya kerana ia adalah palsu semata-mata kerana hanya bersandarkan resit AS$80,000 (RM347,648) untuk perkhidmatan guaman diberikan tanpa sebarang tandatangannya.

Dalam pada itu, Correa juga kini menjadi buruan mahkamah Ecuador kerana dakwaan menculik seorang ahli Parlimen pembangkang tetapi tidak boleh dibicarakan tanpa hadir atas tuduhan itu. - AFP

Berita Harian X