X
Khamis, 9 April 2020 | 12:05pm
Biden (kanan) bersama Sanders ketika berkempen di Ohio pada Oktober tahun lalu. - FOTO AFP
Biden (kanan) bersama Sanders ketika berkempen di Ohio pada Oktober tahun lalu. - FOTO AFP

Pemilihan Presiden AS: Bernie Sanders umum gantung kempen

WASHINGTON: Senator berhaluan kiri Amerika Syarikat (AS), Bernie Sanders, menggantung kempen beliau untuk pemilihan Presiden, semalam.

Tindakan beliau itu sekali gus membuka laluan kepada pesaingnya, Joe Biden, untuk meraih jaminan pencalonan Demokrat dan mencabar Donald Trump pada November depan.

Sosialis Demokrat berusia 78 tahun itu menggegarkan persaingan tahun ini dengan berterusan memperjuangkan ‘keadilan ekonomi’ untuk seluruh rakyat Amerika dan menuntut penjagaan kesihatan sejagat.

Namun, beliau mengakui kempennya gagal berikutan pengundi parti memutuskan Biden akan menjadi calon lebih kuat untuk menentang Trump pada pilihan raya umum itu.

“Saya membuat kesimpulan bahawa perjuangan untuk pencalonan Demokrat ini tidak akan berjaya,” kata Sanders kepada penyokong beliau melalui siaran langsung dari kediamannya.

Pandemik COVID-19 telah menyebabkan semua kempen pihak terbabit pemilihan itu ditangguhkan.

“Naib Presiden Biden akan menjadi calon,” katanya sambil mengucapkan tahniah kepada lelaki itu.

Beliau turut menyifatkan Biden sebagai ‘seorang lelaki sangat baik, yang saya akan bekerjasama untuk menggerakkan idea progresif kami ke hadapan.’

Sanders yang mencabar Hillary Clinton untuk pencalonan parti pada 2016, mengemukakan tawaran 2020 yang hebat.

Beliau mengutip jumlah sumbangan amat tinggi, menjadi pendahulu pada awal tahun ini dan meraih undian paling banyak dalam tiga saingan pertama di seluruh negeri.

Bagaimanapun, beliau dibayangi Biden yang terus mara dengan memenangi majoriti baki pengundian utama dan kini mendahului perlumbaan penting untuk perwakilan yang memilih calon.

Sanders membawa platform ideologi liberal beliau - termasuk seruan untuk penjagaan kesihatan sejagat dan gaji minimum AS$15 sejam - ke dalam arus perdana.

“Kita bersama-sama telah mengubah kesedaran rakyat AS mengenai jenis negara yang kita mampu jadi, dan membawa negara ini satu langkah besar ke depan dalam perjuangan tidak berkesudahan untuk keadilan ekonomi,” katanya.

Beberapa Ahli Parlimen AS menyokong dasarnya, malah Biden turut beralih untuk mengambil pendekatan Sanders walaupun tidak menyokong pelan Penjagaan Perubatan untuk Semua.

Biden pula segera memuji Sanders sebagai ‘seorang lelaki baik, pemimpin hebat dan salah satu suara paling berkuasa untuk perubahan di negara kita.’

Beliau menggesa penyokong Sanders supaya menyertai kempennya yang sudahpun mendapat sokongan daripada hampir semua bekas pesaing beliau, termasuk Senator Kamala Harris dan Amy Klobuchar, serta bekas Datuk Bandar Indiana, Pete Buttigieg.

“Saya melihat anda, saya mendengar anda, dan saya memahami apa yang perlu dilakukan di negara ini.

“Saya berharap anda akan menyertai kami. Anda amat dialu-alukan. Anda diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sanders dan penyokong beliau.

Sementara itu, Trump menyampaikan nada tersendiri kepada penyokong Sanders, walaupun agak kasar.

“Bernie Sanders sudah TERKELUAR!" kata Trump dalam Twitter.

Presiden itu berkata, Senator Elizabeth Warren pula memecahkan undi Liberal dengan kekal dalam saingan pemilihan utama, sehingga membantu Biden yang merupakan pilihan jelas Demokrat untuk pencalonan.

“Orang Bernie harus datang ke Parti Republikan, TUKAR!” katanya.

Trump memenangi pilihan raya 2016 dengan bantuan pengundi kelas pekerja tidak berpuas hati yang percaya bahawa mereka dipinggirkan ahli politik di Washington.

Sanders juga merayu kepada pengundi terbabit.

Semalam, beliau memberi amaran bahawa pandemik COVID-19 mencetuskan ‘krisis ekonomi’ yang mengakibatkan jutaan hilang pekerjaan dan ramai bergelut untuk mendapatkan semula akses terhadap insurans kesihatan.

Sanders berkata, beliau tidak akan kekal dalam kempen tidak boleh menang yang boleh ‘mengganggu’ usaha mengekang wabak itu ketika negara sedang dibelenggu krisis.

Namun, beliau menegaskan akan tetap mengundi dan berusaha menarik sebanyak mungkin perwakilan untuk ‘memberi pengaruh penting’ terhadap hala tuju parti. - AFP

Berita Harian X