X
Sabtu, 25 April 2020 | 10:33am

COVID-19: Sejuta topeng muka China tidak penuhi standard Kanada

MONTREAL: Kira-kira sejuta topeng muka KN95 yang diimport dari China, tidak memenuhi standard ketat ditetapkan negara ini, kata Kerajaan Kanada, semalam.

Justeru, topeng muka berkenaan tidak dapat diedarkan kepada petugas barisan hadapan kesihatan yang sedang memerangi pandemik COVID-19.

"Agensi Kesihatan Awam Kanada telah mengenal pasti kira-kira sejuta topeng muka KN95 tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan untuk penjagaan kesihatan.

"Item terbabit tidak diedarkan kepada barisan hadapan tindak balas penjagaan kesihatan, dan kemudian dinilai untuk kegunaan dalam ketetapan bukan penjagaan kesihatan," kata seorang jurucakap kepada AFP.

Model topeng muka KN95 daripada China adalah serupa topeng muka N95, begitu juga dengan model FFP2 yang digunakan di Eropah.

"Kebanyakan bekalan untuk dunia dihasilkan di China, dan memindahkan bahan keluar dari negara itu adalah sangat rumit," kata Menteri Perkhidmatan Awam dan Perolehan, Anita Anand.

Hubungan antara Ottawa dengan Beijing tegang sejak eksekutif Huawei yang merupakan syarikat telekomunikasi gergasi China, Meng Wanzhou, ditahan di Vancouver pada Disember 2018.

Mengulas lanjut, Anand berkata, berjuta-juta peralatan pernafasan dan topeng muka N95 yang lain sedang diperiksa secara teliti oleh agensi itu.

Sementara itu, pengeluaran domestik topeng muka dan bekalan perubatan lain, sedang dipertingkatkan melalui pemeteraian kontrak dengan tiga lagi syarikat Kanada, minggu ini, untuk menghasilkan 16 juta 'pelindung muka perubatan'.

Pada awal bulan ini, Kanada menerima penghantaran lebih 10 juta topeng muka, serta mengumumkan tempahan berjumlah lebih 60 juta lagi topeng muka N95. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X