Jumaat, 15 Mei 2020 | 7:41am
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump disambut selepas pulang dari Allentown, Pennsylvania di Pangkalan Andrews, Maryland. - Foto AFP
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump disambut selepas pulang dari Allentown, Pennsylvania di Pangkalan Andrews, Maryland. - Foto AFP

Trump terus ancam mahu putus hubungan dengan China

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terus melaungkan ancaman mahu memutuskan hubungan dengan China, serta enggan membuka ruang perbincangan dengan rakan sejawatannya, Xi Jinping, berhubung isu pandemik COVID-19.

Malah, Trump sedia menggunakan pengaruhnya untuk menghentikan hubungan dengan pertubuhan bertanggungjawab bagi menangani wabak COVID-19 itu.

Ketegangan antara dua kuasa besar dunia Beijing dan Washington berlarutan dan Trump terus menekan dan menyalahkan China mengenai punca kemunculan pandemik COVID-19 sejak akhir Disember lalu di Wuhan.

"Saya mempunyai hubungan baik (dengan Xi) namun pada ketika ini tidak mahu bercakap dengannya. Saya terlalu kecewa dengan China dan itu perasaan yang dirasakan ketika ini," katanya mengenai Presiden China itu kepada Fox Business.

Ditanya adakah negaranya akan membalas dendam, Trump memberikan jawapan spesifik namun dengan nada mengancam, dia mengatakan banyak perkara mampu dilakukannya.

"AS mampu melakukan apa saja. Dengan memutuskan seluruh hubungan, kita akan berjimat hingga AS$500 bilion (RM2.2 trilion)," katanya.

Sejak beberapa minggu lalu Trump menuduh China menyembunyikan angka sebenar wabak dan membiarkan virus itu mereka seluruh dunia hingga mengorbankan kira-kira 300,000 nyawa.

Bagaimanapun dakwaan itu dibantah keras Beijing dan menegaskan negaranya akan secepat mungkin memberikan semua data kepada Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Kata Trump, virus itu sepatutnya terkawal namun keadaan sebaliknya berlaku hingga mengakibatkan korban rakyat AS dan penduduk dunia.

Semalam, Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo turut membidas kenyataan Beijing dan mengatakan AS dan negara sekutu akan mengambil tindakan kolektif bagi menyelamatkan nyawa rakyat negaranya.

Duta Besar China ke Britain, Liu Xiaoming bagaimanapun membantah mengatakan China adalah mangsa dan bukan pelakunya.

Awal minggu ini, Trump menolak untuk mengadakan perundingan semula perjanjian itu, ketika ditanya mengenai laporan bahawa China mahu membuka kembali rundingan.

Jumaat lalu, Wakil Perdana Menteri Liu He, yang mengetuai rundingan China, bercakap melalui telefon dengan perunding tertinggi Washington dan mengesahkan bahawa kedua-dua pihak bersetuju untuk melaksanakan fasa pertama perjanjian itu.

Rabu lalu, AS bagaimanapun mendakwa penggodam China mahu mencuri data mengenai rawatan dan vaksin COVID-19 dan mengatakan ia membabitkan kerajaan China dan negara sekutunya yang lain. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X