Sabtu, 30 Mei 2020 | 1:14pm
Penunjuk perasaan berarak di luar Rumah Putih bagi membantah insiden kematian George Floyd ketika ditahan polis di Minneapolis. - FOTO AFP
Penunjuk perasaan berarak di luar Rumah Putih bagi membantah insiden kematian George Floyd ketika ditahan polis di Minneapolis. - FOTO AFP

Beratus-ratus tunjuk perasaan di luar Rumah Putih

WASHINGTON: Ratusan penunjuk perasaan berarak di luar Rumah Putih, semalam, bagi membantah insiden kematian seorang lelaki kulit hitam ketika ditahan polis di Minneapolis, yang menyaksikan ketegangan turut merebak ke beberapa bandar lain di seluruh negara ini.

Presiden Donald Trump dilaporkan berada di dalam Rumah Putih ketika penunjuk perasaan berkenaan berkumpul di taman seberang jalan, dengan puluhan ejen 'Secret Service' melakukan kawalan rapi yang ketat.

Penunjuk perasaan antara lain membawa sepanduk tertera 'Berhenti Membunuh Kami' sambil menuntut keadilan atas kematian George Floyd.

Floyd meninggal dunia, Isnin lalu, selepas seorang anggota polis kulit putih menekankan lututnya selama beberapa minit pada leher lelaki Afrika-Amerika itu yang digari dan tidak bersenjata.

Bagaimanapun, sebahagian besar pertempuran serius berjaya dihindari di luar Rumah Putih, dan penunjuk perasaan berarak memasuki jalan Washington menuju ke Capitol AS.

Rakaman video yang menunjukkan Floyd ditahan secara ganas dan insiden kematiannya menjadi tular, sekali gus mengembalikan 'luka mendalam' akibat ketidaksamaan kaum di negara ini.

Penahanan pegawai polis Minneapolis terbabit, Derek Chauvin yang didakwa atas pertuduhan membunuh, dilihat tidak meredakan kemarahan orang ramai.

Minneapolis dilanda rusuhan selama tiga hari yang menghancurkan sebahagian daripada bandar itu.

Malah, penunjuk perasaan terus berkumpul di jalanan, sekali gus mengingkari perintah berkurung yang bermula jam 8 malam tadi.

Bantahan turut merebak ke New York, Houston, Atlanta, Detroit, Las Vegas, San Jose dan Memphis. - AFP

Berita Harian X