Ahad, 31 Mei 2020 | 8:00am
Kenderaan polis dibakar oleh perusuh di Fairfax District yang membantah insiden kematian George Floyd. - FOTO AFP
Kenderaan polis dibakar oleh perusuh di Fairfax District yang membantah insiden kematian George Floyd. - FOTO AFP

Tragedi kematian Floyd: Minneapolis terus dihambat keganasan perusuh

MINNEAPOLIS: Gabenor Minnesota meminta bantuan pasukan pengawal kebangsaan ditingkatkan, sekali gus memberi amaran mereka akan 'menghapuskan' perusuh selepas Minneapolis terus dihambat keganasan, malam tadi, manakala bantahan terhadap kekejaman polis merebak ke seluruh Amerika Syarikat (AS).

Pihak berkuasa di banyak bandar kini bersiap siaga untuk menghadapi lebih banyak kekacauan yang tercetus susulan kematian lelaki kulit hitam, George Floyd, ketika ditahan polis Minneapolis.

Letusan gelombang kemarahan atas layanan buruk polis terhadap golongan Afrika-Amerika itu merupakan antara pergolakan awam terburuk di AS dalam tempoh berdekad-dekad.

Kenderaan polis dan harta benda lain dibakar serta dimusnahkan di New York, Dallas, Atlanta serta merata tempat lagi bersama laungan penunjuk perasaan selama berjam-jam di luar Rumah Putih tatkala Presiden Donald Trump berada di dalam bangunan itu.

Gabenor Tim Walz berkata, beliau telah menggerakkan keseluruhan 13,000 anggota Pengawal Kebangsaan Minnesota untuk menangani perusuh yang merompak kedai dan membakar kawasan Minneapolis - St Paul.

Langkah sedemikian tidak pernah diambil lagi sejak Perang Dunia Kedua.

Walz berkata, beliau juga telah berbincang dengan Pentagon untuk memanfaatkan sumber ketenteraan AS bagi membantu menjaga keamanan.

The New York Times melaporkan bahawa atas arahan Trump, polis tentera diletakkan dalam keadaan bersiap siaga untuk digerakkan, iaitu satu langkah tidak diambil dalam tempoh berdekad-dekad.

Walz mendakwa, beliau akan terus menyokong bantahan aman atas tragedi yang menimpa Floyd, namun tindakan penunjuk perasaan melanggar perintah berkurung dan melakukan kemusnahan di bandar ini adalah tiada kaitan dengan kematian mangsa.

"Harapan kami ialah perintah berkurung dipatuhi dan ketenteraman kembali pulih," katanya.

Sambil mendakwa perusuh terbabit adalah anggota kumpulan anarki dan pelampau, beliau berkata: "Matlamat kami ialah menghapuskannya secepat mungkin."

Bantahan dijangka berterusan walaupun pegawai polis yang terbabit insiden kematian Floyd telah dipecat, selain ditahan dan didakwa dengan pertuduhan membunuh. - AFP

Berita Harian X