Ahad, 31 Mei 2020 | 11:46am
Roket SpaceX berlepas dengan lancar dari Pusat Angkasa Kennedy. - FOTO AFP
Roket SpaceX berlepas dengan lancar dari Pusat Angkasa Kennedy. - FOTO AFP

Roket SpaceX berlepas ke ISS

FLORIDA: Roket SpaceX membawa dua angkasawan veteran Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA), berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS), semalam, melalui penerbangan oleh syarikat swasta untuk kali pertama, sekali gus membuka lembaran baharu penjelajahan angkasa lepas.

Roket Falcon 9 dua peringkat dinaiki angkasawan, Robert Behnken dan Douglas Hurley itu berlepas dengan lancar dari Pusat Angkasa Kennedy, di sini, dan akan menempuh perjalanan selama 19 jam ke ISS.

"Mari kita mulakan," kata Hurley yang juga komander kapal angkasa terbabit kepada Pusat Kawalan Misi SpaceX di Hawthorne, California, sebelum berlepas pada jam 3.22 petang dari Pad Pelancaran 39A NASA.

Pelancaran SpaceX adalah yang pertama membabitkan angkasawan Amerika Syarikat (AS) dari tanah negara ini selepas AS menamatkan program kapal angkasanya pada 2011.

Syarikat diasaskan oleh usahawan, Elon Musk, muncul sebagai firma komersial pertama menghantar angkasawan ke orbit.

"Impian menjadi kenyataan untuk saya dan semua orang di SpaceX," kata Musk.

Misi dikenali sebagai 'Demo-2' itu menamatkan monopoli kerajaan dalam penerbangan kapal angkasa, selain menjadi ujian terakhir sebelum NASA memperakui kapsul Crew Dragon SpaceX untuk misi seterusnya.

Behnken, 49, dan Hurley, 53, bekas juruterbang ujian tentera yang menyertai NASA pada 2000, dijadualkan mendarat di ISS pada jam 10.29 pagi ini.

Mereka akan menyertai angkasawan AS, Chris Cassidy dan angkawasan Russia, Anatoly Ivanishin serta Ivan Vagner, di ISS.

SpaceX memaklumkan, Crew Dragon berjaya memasuki orbit rendah dan berada di lintasan tepat untuk berpaut dengan stesen angkasa, kira-kira 450 kilometer dari bumi.

Tahap penggalak pertama Falcon 9 yang boleh diguna semula, terpisah dengan lancar kira-kira dua minit setengah selepas roket itu berlepas dan mendarat secara menegak di tapak terapung di pesisir perairan Atlantik. Peringkat kedua juga terpisah dengan lancar.

Pelancaran roket terbabit pada mulanya dijadualkan pada Rabu lalu tetapi ditangguhkan atas faktor cuaca.

Misi itu diteruskan walaupun AS sedang menjalani perintah berkurung akibat COVID-19 dan berdepan rusuhan di beberapa bandar susulan kematian seorang lelaki kulit hitam ketika ditahan polis di Minneapolis.

Presiden AS, Donald Trump, turut berlepas ke Florida untuk menyaksikan pelancaran roket itu dan menyampaikan ucapan kepada kakitangan NASA serta SpaceX.

Dalam ucapannya, Trump menyentuh tunjuk perasaan yang sedang dihadapi negara ini dengan menyatakan beliau memahami 'kesakitan dialami rakyat' tetapi tidak akan bertolak ansur dengan keganasan.

Mengenai pelancaran roket pula, Trump memuji Musk, sekali gus menyifatkannya sebagai 'hari istimewa' yang menyaksikan 'komitmen diperbaharui untuk masa depan AS dalam bidang angkasa lepas'.

"Pelancaran hari ini (semalam) jelas menunjukkan industri angkasa lepas secara komersial adalah masa depan kita," katanya.

Trump turut mengulangi ikrarnya untuk menghantar angkasawan AS kembali ke bulan pada 2024 dan planet Marikh. - AFP

Berita Harian X