Jumaat, 5 Jun 2020 | 7:35am
Orang ramai bertafakur selama lapan minit dan 46 saat pada majlis pengebumian George Floyd. Foto AFP
Orang ramai bertafakur selama lapan minit dan 46 saat pada majlis pengebumian George Floyd. Foto AFP

'Anda mengubah dunia George,' kata ketua hak asasi awam

MINNEAPOLIS: Ratusan orang ramai berhimpun bagi memberikan penghormatan terakhir untuk mendiang George Floyd, lelaki Afrika-Amerika yang maut dibunuh anggota polis minggu lalu.

Ikrar turut dilafazkan ketua hak asasi awam, Al Sharpton, bahawa bantahan terhadap kematian Floyd akan berterusan selagi sistem keadilan tidak berubah di Amerika Syarikat (AS).

Peguam Floyd memberitahu orang ramai bahawa beliau akan memperjuangkan keadilan untuk Floyd, 46, yang meninggal dunia pada 25 Mei, apabila lehernya ditekan menggunakan lutut oleh seorang anggota polis kulit putih selama hampir sembilan minit.

"George Floyd menemui ajal bukan kerana pandemik COVID-19. Ia adalah kerana pandemik lain, iaitu perkauman dan diskriminasi," kata Benjamin Crump, yang mewakili keluarga Floyd.

Orang ramai bertafakur selama lapan minit dan 46 saat, iaitu tempoh diambil Derek Chauvin untuk menekan leher Floyd menggunakan lututnya, satu aksi yang sempat dirakam menerusi pita video.

Kematian Floyd menghidupkan semula kemarahan yang terpendam susulan kematian sekian ramai penduduk Afrika-Amerika di tangan polis di AS, sejak pembunuhan Martin Luther King pada 1968.

Dengan demontrasi membantah ketidak adilan perkauman di kebanyakan bandar di AS, Sharpton berkata, semua kematian itu tidak akan terbiar tanpa sebarang pembelaan.

"Ini adalah masanya untuk kita berdiri di atas nama George dan hentikan penindasan ini.

"Kamu mengubah dunia ini George. Kita akan terus berjuang untuk George. Kita akan berjuang sehingga keseluruhan sistem keadilan ini berubah.

"Tak kira anda memakai jeans biru atau berpakaian seragam, jenayah yang anda lakukan perlu menerima hukuman setimpal," kata paderi Baptis berusia 65 tahun itu. - AFP

Berita Harian X