Jumaat, 25 Januari 2019 | 12:48pm
Gambar menunjukkan penduduk yang mengosongkan rumah mereka di Makassar kerana hujan lebat dan angin kencang melanda bahagian selatan pulau Sulawesi. - AFP

Korban banjir, tanah runtuh meningkat 59

MAKASSAR: Banjir dan tanah runtuh di Indonesia kini sudah meragut sekurang-kurangnya 59 nyawa, kata kerajaan hari ini, selepas hujan lebat melanda Sulawesi dan memaksa ribuan penduduk meninggalkan rumah masing-masing.

“Saya tidak pernah melihat sesuatu seburuk ini, paling teruk,” kata ketua agensi mitigasi bencana Sulawesi Selatan, Syamsibar, menambah 25 masih hilang.

Dilanda hujan lebat, sungai melimpahi tebing, membanjiri puluhan komuniti di 11 daerah selatan Sulawesi.

Sebahagian daripada ibu negerinya, Makassar, juga terjejas.

Daerah Gowa juga berhadapan paling ramai kematian, dengan 44 ditemui maut, kata Syamsibar.

Kir-akira 3,400 dipindahkan dari rumah mereka dan diberikan perlindungan di sekolah, masjid dan khemah.


Para penyelamat Indonesia memindahkan penduduk dari rumah mereka yang ditenggelami banjir akibat hujan lebat dan angin kencang di Makassar bahagian selatan pulau Sulawesi. - Foto AFP

Penyelamat dan penduduk mengharungi jalan raya dipenuhi air paras pinggang, sebahagiannya mengusung harta benda di atas kepala.

“Saya tidak dapat menyelamatkan semua harta benda, rumah saya dihanyutkan,” kata penduduk Makassar, Ayu Fiskarina.

Pihak berkuasa berkata, banjir semakin surut tetapi impak bencana itu meluas, merosakkan rumah, bangunan kerajaan, sekolah dan jambatan. — AFP

Berita Harian X