Rabu, 16 Oktober 2019 | 6:52pm
Selepas dipujuk penduduk kampung Nasir mengebumikan kembali jenazah ibunya di lokasi perkuburan asal.

Anak gali kubur ibu selepas 40 hari dikebumi

JAKARTA: Hanya kerana terlalu sedih dan merindui ibunya, seorang lelaki di wilayah Probolinggo, Jawa Timur, bertindak menggali semula kubur, lalu membawa jenazah ibunya balik ke rumah selepas 40 hari meninggal dunia, lapor media tempatan.

Laman Jakarta Post melaporkan, polis tempatan mengesahkan lelaki yang dikenali sebagai Nasir itu tinggal di kampung Batur, daerah Gading, sedangkan ibunya dikebumikan di kampung Kedungsumur, daerah Pekuniran. Dia juga dikatakan mempunyai masalah mental.

Penduduk Kedungsumur, Amir berkata, kejadian itu mengejutkan penduduk kampung.

“Nasir menggali kubur ibunya selepas 40 hari kematian dan jenazah ibunya dibawa pulang ke rumah. Demi mengelak dirinya ditangkap, Nasir meletakkan jenazah ibunya di dalam karung guni,” katanya.

Menurut Amin, tindakan Nasir itu tidak disedari kerana kawasan tanah perkuburan itu terletak di dalam hutan dan kawasan itu jarang diziarahi orang ramai.

Nasir dikatakan menyimpan jenazah ibunya beberapa hari, sehingga ia disedari saudaranya yang dikenali sebagai Sul. Sul mengarahkan Nasir mengebumikan kembali jenazah ibunya. Akhirnya, Ahad lalu, Nasir mengebumikan kembali jenazah ibunya di lokasi perkuburan asal.

Polis Pakuniran, Inspektor Habi Sutoko berkata, Nasir adalah anak ketiga Sumarto, mempunyai masalah mental yang kronik. - Agensi

Berita Harian X