Jumaat, 8 November 2019 | 10:21pm
Jackie Chan ketika menghadiri majlis promosi album solo terbaharu bertajuk ‘I Am Me’ di Taipei, Taiwan pada Jun lalu. Foto AFP

Jackie Chan batal lawatan ke Vietnam

HANOI: Bintang filem seni mempertahankan diri, Jackie Chan terpaksa membatalkan rancangan untuk menghadiri acara kebajikan di Vietnam susulan bantahan dalam talian, selepas beliau didakwa menyokong tuntutan Beijing di Laut China Selatan.

Pelakon kelahiran Hong Kong itu dijadual melawat Hanoi, lusa, bagi menyokong program ‘Operation Smile’, iaitu acara kebajikan yang menyediakan pembedahan percuma kepada kanak-kanak yang berdepan masalah kecacatan muka.

Namun, rancangan itu terpaksa dibatalkan selepas ribuan pengguna akaun Facebook memenuhi laman web rasmi pertubuhan kebajikan itu, sebaik sahaja kehadiran Chan diumumkan minggu lalu.

Antara komen yang dimuat naik, mendakwa Chan mengeluarkan kenyataan menyokong tuntutan China ke atas ‘nine-dash line’ atau sekumpulan pulau di wilayah dipertikaikan di Laut China Selatan.

Ia adalah istilah sejarah yang digunakan oleh Beijing sejak 1912, bagi menunjukkan justifikasi tuntutan, terhadap wilayah di laut yang kaya dengan sumbernya.

Bagaimanapun, Chan tidak pernah menyatakan sokongan secara terbuka terhadap isu maritim yang kontroversi itu.

Selain China, beberapa negara di Asia Tenggara, iaitu Vietnam, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Brunei turut mengemukakan tuntutan terhadap wilayah terbabit, serta menjadi isu yang mencetuskan ketegangan berpanjangan di rantau berkenaan.

Sementara itu, pertubuhan kebajikan terbabit, menyatakan permohonan maaf semalam, kerana gagal menjangka reaksi orang ramai di negara itu, tetapi menegaskan bahawa aktiviti kebajikan mereka tidak bermotifkan politik.

“Kami benar-benar memohon maaf, Operation Smile tidak akan menganjurkan sebarang aktiviti membabitkannya (Chan) di Vietnam,” katanya.

Vietnam adalah salah pengkritik utama Beijing, dalam pertikaian membabitkan isu di Laut China Selatan. - AFP

Berita Harian X