X
Rabu, 8 April 2020 | 7:14am
Keadaan lenggang di jalan raya Singapura berikutan pandemik COVID-19. - FOTO AFP
Keadaan lenggang di jalan raya Singapura berikutan pandemik COVID-19. - FOTO AFP

COVID-19: Singapura cecah 1,481 kes

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura semalam mengesahkan 106 jangkitan baharu COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhannya mencecah 1,481 kes di republik ini.

Kes terbabit meliputi 39 berkaitan kluster asrama pekerja asing dan 23 dikaitkan dengan kluster bukan asrama, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

Dua asrama yang diwartakan sebagai kawasan pengasingan, iaitu S11 Dormitory @ Punggol di Seletar North Link mempunyai 98 kes disahkan, manakala 34 kes pula di Westlite Toh Guan di Toh Guan Road East.

MOH memaklumkan, tiga kes dilaporkan daripada sektor penjagaan kesihatan awam membabitkan dua jururawat di Hospital Besar Singapura (SGH) dan Hospital Besar Ng Teng Fong (NTFGH), serta seorang pembantu kesihatan di Poliklinik Hougang.

Mengenai perkembangan terkini jangkitan COVID-19 yang disahkan, MOH berkata, 33 kes sudah dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan komuniti, sekali gus menjadikan keseluruhannya 377 telah sembuh.

Daripada 627 kes disahkan yang masih berada di hospital, kebanyakannya stabil atau bertambah baik, manakala 29 lagi kritikal dan dirawat di unit rawatan rapi.

MOH memaklumkan, 471 kes yang secara klinikal baik tetapi masih positif ujian COVID-19, diasingkan serta dijaga di Hospital Concord International, Hospital Mount Elizabeth, Hospital Gleneagles, Hospital Mount Alvernia dan kemudahan pengasingan komuniti di D’Resort NTUC.

Enam orang telah meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan COVID-19.

Setakat jam 12 tengah hari semalam, MOH telah mengenal pasti 17,819 kontak rapat yang dikuarantin. – BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X