Rabu, 8 April 2020 | 8:11pm
Penduduk setempat yang kurang berkemampuan dan berada di bawah kuarantin kediaman kerana wabak coronavirus COVID-19 beratur untuk menerima makanan percuma di kampung Lio Genteng di Bandung, Jawa Barat. - Foto AFP
Penduduk setempat yang kurang berkemampuan dan berada di bawah kuarantin kediaman kerana wabak coronavirus COVID-19 beratur untuk menerima makanan percuma di kampung Lio Genteng di Bandung, Jawa Barat. - Foto AFP

COVID-19: Indonesia pertingkat langkah kekang penularan

BANDUNG: Pemerintah Jawa Barat hari ini mengemukakan permohonan kepada pemerintah pusat untuk melaksanakan perintah sekatan sosial berskala besar (PSBB) di lima kota dan daerah yang bersebelahan dengan Jakarta untuk meningkatkan langkah mengekang penyebaran COVID-19.

  

Kawasan terbabit adalah Depok, Bekasi, Residensi Bekasi, Bogor dan Residensi Bogor, yang semuanya adalah bandar satelit untuk Jakarta yang menjadi pusat penyebaran COVID-19 di negara itu.

  

Gabenor Jawa Barat, Ridwan Kamil, berkata lima daerah itu memiliki kelompok transmisi COVID-19 serantau yang sama dengan Jakarta dan oleh itu, pentadbiran kedua-dua wilayah itu harus melaksanakan langkah yang diselaraskan untuk mencegah penyebaran penyakit terbabit.

  

"Hampir 70 peratus daripada semua kes COVID-19 di seluruh negara berada di Jakarta, yang bermakna dalam menangani COVID-19, kita harus mengeluarkan dasar berdasarkan kluster dan bukannya dasar sektoral," kata Ridwan dalam satu kenyataan yang disiarkan di akaun rasmi Instagramnya hari ini.

Ridwan mengadakan persidangan video dengan ketua daerah di lima bandar dan daerah pada malam semalam untuk membincangkan isu terbabit dan mereka setuju untuk mengajukan permintaan PSBB kepada Kementerian Kesihatan.

  

Jakarta dan Jawa Barat mencatatkan jumlah jangkitan COVID-19 tertinggi di Indonesia, dengan masing-masing 1,470 kes dan 365 kes, daripada 2,956 kes keseluruhan negara itu semalam.

  

Kematian yang direkodkan di kedua-dua wilayah itu juga membentuk lebih daripada separuh jumlah kematian di seluruh negara sebanyak 240 orang, dengan Jakarta melaporkan 114 kematian dan Jawa Barat melaporkan 35 kematian akibat penyakit itu. - JAKARTA POST

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X