Rabu, 8 April 2020 | 9:16pm
Kakitangan dari pihak berkuasa kesihatan kerajaan (kanan) membuat ujian coronavirus COVID-19 di kawasan tempat letak kereta untuk pemandu selepas jangkitan dijumpai di kawasan itu di Jakarta. - Foto AFP
Kakitangan dari pihak berkuasa kesihatan kerajaan (kanan) membuat ujian coronavirus COVID-19 di kawasan tempat letak kereta untuk pemandu selepas jangkitan dijumpai di kawasan itu di Jakarta. - Foto AFP

COVID-19: Lebih 450,000 jalani rapid test di Indonesia

JAKARTA: Lebih 450,000 orang di Indonesia telah menjalani “rapid test” setakat ini sebagai satu usaha pemerintah Indonesia melakukan pengesanan awal jangkitan virus COVID-19.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto, berkata ia selaras dengan arahan Presiden Joko Widodo pada 20 Mac lalu yang mahukan rapid test dilaksanakan secara massa, menerusi pemeriksaan sampel darah.

Namun, bagi Ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia, Doni Monardo, ujian itu bukanlah kaedah terbaik dalam mengesan virus itu, tetapi lebih kepada pengesanan awal sekiranya seseorang mempunyai sindrom tidak sihat, yang berkemungkinan dijangkiti COVID-19.

"Terdapat keputusan rapid test yang negatif, namun apabila menjalani pemeriksaan sampel lendir hidung atau tekak (PCR: Polymerase Chain Reaction), individu terbabit didapati positif COVID-19," katanya.

Achmad Yurianto berkata, fokus sebelum ini adalah rapid test kerana kos pemeriksaan menerusi kaedah itu tidak terlalu mahal, namun pemerintah Indonesia kini juga melakukan PCR yang setakat semalam ini membabitkan 15,000 orang.

Pada sidang media hariannya hari ini, Achmad Yutianto berkata, sebanyak 218 kes positif baharu dalam tempoh 24 jam, menjadikan kes positif kini berjumlah 2,956 kes, manakala sejak 12 tengah hari kelmarin sehingga 12 tengah semalam juga, sebanyak 19 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah kematian kini 240 orang.

Hari ini, seramai 750 wartawan di Indonesia yang mendaftar bagi menjalani rapid test, turut menjalani pemeriksaan sampel darah yang diadakan di Kementerian Komunikasi dan Informatika.

Achmad Yurianto, sebelum ini menyatakan lebih 600,000 penduduk Indonesia berisiko dijangkiti virus itu. - BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X