Ahad, 2 Ogos 2020 | 6:15pm
Orang ramai patuh melakukan penjarakan fizikal sementara menunggu giliran untuk disaring di pusat ujian COVID-19 di Hanoi. Foto AFP
Orang ramai patuh melakukan penjarakan fizikal sementara menunggu giliran untuk disaring di pusat ujian COVID-19 di Hanoi. Foto AFP

COVID-19: Vietnam saring 1.1 juta penduduk Danang

HANOI: Vietnam akan melaksanakan saringan terhadap semua penduduk Danang, susulan penularan jangkitan COVID-19 di bandar yang menempatkan 1.1 juta penduduk itu.

Akhbar, Tuoi Tre, melaporkan pendekatan itu diambil Kerajaan Vietnam selepas pihak berkuasa khuatir dengan kadar penularan jangkitan yang semakin meningkat.

Setakat ini, Kementerian Kesihatan Vietnam mengesahkan bahawa dua kes baharu dikaitkan dengan penularan di Danang, manakala dua lagi adalah daripada kes import.

Lebih 800,000 orang dilaporkan berkunjung ke bandar di pesisir Vietnam itu sejak 1 Julai lalu, malah rekod semasa mendapati kira-kira 41,000 individu melawat tiga hospital di bandar terbabit yang dikenal pasti sebagai punca penularan.

Hab kewangan, bandar Ho Chi Minh pula mencatatkan tiga kes setakat ini selepas saringan dikendalikan terhadap 21,000 daripada 32,000 individu yang mempunyai rekod perjalanan ke Danang sejak beberapa bulan lalu.

Sementara itu, Hanoi menjalankan ujian pantas bagi mengesahkan jangkitan COVID-19 membabitkan kira-kira 50,000 penduduk yang pulang dari Danang, setakat semalam.

Berdasarkan rekod semasa, seramai 72,275 penduduk Hanoi mempunyai rekod perjalanan ke Danang, sejak 8 Julai lalu.

Vietnam sehingga kini mempunyai 174 kes baharu COVID-19 yang kebanyakannya dari Danang, sejak 25 Julai lalu susulan bandar terbabit merekodkan kes penularan tempatan pertama selepas tempoh tiga bulan.

Terkenal dengan aktiviti sektor pelancongan, Vietnam yang menjadi sebahagian daripada Asia Tenggara kini mencatatkan 590 kes COVID-19, termasuk 214 kes yang masih menerima rawatan dan tiga kematian. - BLOOMBERG

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X