Sabtu, 31 March 2018 | 1:21pm

Pyongyang sertai Sukan Olimpik di Tokyo, Beijing

BEIJING: Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach, mengumumkan bahawa Korea Utara akan menyertai Sukan Olimpik di Jepun dan China, selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin negara itu, Kim Jong-un di Pyongyang.

Bach tiba di Pyongyang pada Khamis lalu, susulan penyertaan Korea Utara dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyengchang yang membantu meredakan ketegangan di Semenanjung Korea.

Ketika ditemui pemberita di lapangan terbang Beijing di setibanya dari Pyongyang, Back berkata, Korea Utara bersetuju untuk menyertai Sukan Olimpik Musim Panas di Tokyo pada 2020 dan Sukan Olimpik Musim Sejuk di Beijing pada 2022.

"Komitmen negara itu mendapat sokongan kepimpinan tertinggi Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK), hasil perbincangan saya dan beliau yang berlangsung dalam suasana terbuka semalam.

"Jadi, IOC akan mengemukakan cadangan sama ada wujudnya potensi untuk kedua-dua negara (Semenanjung Korea) mengadakan perbarisan bersama atau bagi aktiviti lain di Tokyo dan mungkin di Beijing, pada masa yang sesuai," katanya.

Agensi berita rasmi Korea Utara, KCNA melaporkan bahawa Bach memberitahu Jong-un bahawa lawatan itu bertujuan menyatakan 'rasa terima kasih' kepada pemimpin Korea Utara itu, atas bantuannya menjadikan Sukan Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang pada Februari lalu, sebagai satu simbol keamanan.

KCNA berkata, Jong-un turut melahirkan penghargaan atas segala sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh IOC terhadap Korea Utara, tanpa mengira keadaan politik semasa. - Reuters

Berita Harian X