Jumaat, 5 Oktober 2018 | 9:20pm
BENJAMIN Netanyahu.
BENJAMIN Netanyahu.

Polis soal Netanyahu kali ke-12 siasatan rasuah

BAITULMAQDIS: Sekarang musim pemimpin serta bekas pemimpin dunia menghadapi pelbagai cabaran terhadap integriti dan kewibawaan diri masing-masing.

Di Peru, bekas pemimpinnya, Alberto Fujimori dimansuhkan pengampunan dan dikenakan semula hukuman penjara; di Korea Selatan, bekas Presiden Lee Myung-bak pula dihukum penjara 15 tahun kerana kesalahan rasuah manakala pemimpin pembangkang Pakistan, Shehbaz Sharif ditahan juga berkaitan kes rasuah.

Terbaru, di Israel, Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu disoal polis buat kali ke-12 hari ini berhubung satu siasatan mengenai rasuah yang sudah lama dilancarkan.

Penyiasat menyoal Netanyahu selama beberapa jam di kediaman rasminya di sini dengan soalan tertumpu kepada dua kes di mana polis sudah mencadangkan pendakwaan ke atasnya, lapor radio tentera dan media lain.

Satu kes membabitkan pemberian hadiah yang didakwa diberikan kepada Netanyahu dan keluarganya manakala satu lagi membabitkan tuduhan bahawa beliau membincangkan untuk diberi liputan lebih baik dalam Yedioth Ahronoth, salah sebuah akhbar terbesar Israel, sebagai tukaran kepada sekatan tertentu dikenakan ke atas pesaingnya, Israel Hayom.

Belum ada dakwaan dikemukakan ke atas pemimpin Israel itu yang menafikan sebarang salah laku sebaliknya menyifatkan dakwaan berkenaan sebagai tidak berasas.

Terpulang kepada Peguam Negara Israel untuk memutuskan sama ada untuk mengemukakan pendakwaan ke atas Netanyahu.

Bagaimanapun, sekutu politik Netanyahu dalam kerajaan campuran yang memerintah, memberi sokongan kepadanya dan menyatakan mereka menunggu langkah Peguam Negara seterusnya.

Dalam satu kenyataan, polis menyatakan bahawa sesi soal jawab itu berlangsung selama beberapa jam tetapi tidak memberitahu sebarang butir-butir lanjut.

Jurucakap bagi Netanyahu berkata, Perdana Menteri menjawab setiap soalan dengan yakin dan tahu bahawa tiada apa-apa yang berlaku dan dengan itu tiada apa yang akan dikenakan ke atasnya.

Netanyahu juga disoal bagi kes ketiga di mana polis mendakwa pemilik syarikat telekomunikasi terbesar memberi liputan lebih baik kepadanya dan isterinya pada laman web yang mereka kawal sebagai tukaran kepada memberi layanan khas daripada penguatkuasa komunikasi. - Reuters

Berita Harian X