Khamis, 16 Mei 2019 | 5:14pm
Penduduk Yaman membawa mangsa yang ditemui di bawah runtuhan bangunan selepas serangan udara yang dilancarkan oleh tentera pakatan. Foto AFP
Penduduk Yaman membawa mangsa yang ditemui di bawah runtuhan bangunan selepas serangan udara yang dilancarkan oleh tentera pakatan. Foto AFP

Tentera pakatan serang wilayah dikuasai Houthi di Yaman

SANAA: Kapal perang milik tentera pakatan diketuai Arab Saudi menyerang sasaran yang diduduki pemberontak Yaman, termasuk di Sanaa hari ini.

Ia dilancarkan dua hari selepas pemberontak didakwa melakukan serangan menggunakan dron, bagi menutup saluran paip minyak utama di sempadan Arab Saudi.

Insiden pengeboman itu berlaku selepas wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang mengetuai usaha bagi menamatkan konflik selama lebih empat tahun di negara termiskin di rantau Arab itu, mengeluarkan amaran bahawa masih wujud ancaman ia akan merebak kepada perang.

Dalam pada itu, pakatan diketuai Arab Saudi mengesahkan bahawa mereka melancarkan serangan selepas beberapa dron disyaki milik pemberontak menembak saluran paip minyak milik Arab Saudi, pada kelmarin.

“Kami sudah melancarkan serangan udara yang menyasar lokasi yang dikuasai militan Houthi, termasuk di Sanaa,” kata pegawai pakatan yang enggan dikenali kepada AFP.

Sementara itu, seorang saksi di wilayah dikuasai pemberontak memberitahu AFP, beliau mendengar bunyi letupan kuat di pusat bandar.

Rangkaian televisyen milik pemberontak, Al Masirah turut melaporkan enam serangan dilancarkan ke daerah Arhab, di Sanaa, dan diikuti beberapa lagi serangan, termasuk sekurang-kurangnya satu di Sanaa. - AFP

Berita Harian X