Sabtu, 17 Ogos 2019 | 11:15pm
Houthi berkata, kumpulan itu menyasar lapangan minyak Shaybah milik Saudi Aramco menggunakan 10 dron dalam apa yang dikatakan ‘serangan terbesar’ ke atas Arab Saudi. -Foto Agensi
Houthi berkata, kumpulan itu menyasar lapangan minyak Shaybah milik Saudi Aramco menggunakan 10 dron dalam apa yang dikatakan ‘serangan terbesar’ ke atas Arab Saudi. -Foto Agensi

Dron Houthi serang loji minyak Arab Saudi

DUBAI: Serangan dron dilancarkan pemberontak Houthi Yaman ke atas lapangan minyak di timur Arab Saudi hari ini menyebabkan kebakaran di sebuah loji gas namun tidak menjejaskan pengeluaran minyak, kata syarikat kerajaan Saudi Aramco.

Seorang jurucakap tentera Houthi berkata, kumpulan itu menyasar lapangan minyak Shaybah menggunakan 10 dron dalam apa yang dikatakan ‘serangan terbesar’ ke atas negara pentadbiran diraja itu yang juga pengeksport terbesar minyak dunia.

Menteri Tenaga Arab Saudi, Khalid al-Falih menyifatkan Shaybah sebagai sebuah kemudahan penting.

“Sasaran serangan ini ialah keselamatan bekalan minyak global, bukan hanya negara pentadbiran diraja. Ia bersamaan ancaman kepada ekonomi global,” katanya dalam komen diterbitkan agensi berita Arab Saudi (SPA).

Saudi Aramco berkata, tiada kecederaan dilaporkan dan tiada gangguan kepada operasi minyak.

“Pasukan tindakan Saudi Aramco mengawal kebakaran terhad pagi ini di kemudahan Shaybah NGL (cecair gas asli),” kata syarikat dalam kenyataan.

Shaybah terletak sejauh 1,000 kilometer dari wilayah dikawal Houthi di barat laut Yaman.

Lapangan minyak itu terletak berhampiran sempadan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), rakan kongsi utama Arab Saudi dalam pakatan Arab yang berjuang menentang Houthi disokong Iran sejak 2015. -Reuters

Berita Harian X