Khamis, 31 Oktober 2019 | 7:32pm
Kesemua 800 rakyat China yang ditahan datang ke Mongolia menggunakan visa pelancong 30 hari. -Foto Agensi
Kesemua 800 rakyat China yang ditahan datang ke Mongolia menggunakan visa pelancong 30 hari. -Foto Agensi

Mongolia tahan 800 rakyat China terbabit jenayah siber

ULAANBAATAR: Polis di ibu kota Mongolia di sini menahan 800 rakyat China dan merampas ratusan komputer dan kad SIM telefon bimbit sebagai sebahagian siasatan terhadap rangkaian jenayah siber, kata pihak berkuasa keselamatan tempatan.

Ketua Agensi Perisikan Awam Mongolia, Gerel Dorjpalam dalam taklimat media semalam berkata, tangkapan dibuat selepas polis menyerbu empat lokasi Selasa lalu, susulan siasatan selama dua bulan.

Beliau tidak memberi butiran khusus kesalahan namun berkata, mereka terbabit dalam perjudian haram, penipuan, godaman komputer, mencuri identiti dan penggubahan wang haram.

“Setakat ini, kami mengesyaki mereka ada kaitan dengan penggubahan wang haram. Kami sedang meneliti perkara itu,” Dorjpalam.

Kesemua 800 rakyat China yang ditahan itu datang ke Mongolia menggunakan visa pelancong 30 hari.

Kedutaan China di sini berkata dalam satu kenyataan, ia akan bekerja sama dengan polis Mongolia.

Bulan lalu, 324 warga China tanpa dokumen ditahan di Filipina atas dakwaan mengendalikan aktiviti permainan dalam talian secara haram dan terbabit dalam penipuan siber, menurut notis biro imigresen negara itu. -Reuters

Berita Harian X