Jumaat, 17 Januari 2020 | 2:48pm
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

Mangsa kedua mati akibat virus misteri dikaitkan SARS di China

BEIJING: Mangsa kedua meninggal dunia di China akibat virus misteri dikaitkan dengan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang sudah menjangkiti berpuluh-puluh orang dan turut muncul di dua negara Asia lain.

Menurut pihak berkuasa tempatan, seorang lelaki berusia 69 tahun mati pada Rabu lalu di Wuhan yang dipercayai menjadi pusat penularan wabak koronavirus daripada keluarga sama dengan patogen SARS yang meragut banyak nyawa.

Wabak itu sekali gus mencetuskan keresahan berikutan kaitannya dengan SARS yang mengorbankan 349 orang di tanah besar China dan 299 lagi di Hong Kong antara 2002 hingga 2003.

Sekurang-kurang 41 orang dijangkiti penyakit radang paru-paru dikaitkan dengan virus baharu di China itu, menyebabkan pihak berkuasa di Hong Kong turut meningkatkan langkah mengesan, termasuk mengadakan pemeriksaan suhu terhadap pelancong yang masuk ke negara berkenaan.

Menurut suruhanjaya kesihatan Wuhan, 12 orang sudah sembuh dan keluar dari hospital, manakala lima lagi berada dalam keadaan serius.

Katanya, lelaki meninggal dunia itu dilaporkan jatuh sakit pada 31 Disember lalu sebelum keadaan mangsa menjadi kian teruk pada 4 Januari dengan ‘pulmonary tuberculosis’ dan mengalami kerosakan fungsi pelbagai organ tubuh.

Dua kes lain dikesan di Thailand dan Jepun dengan pegawai kesihatan di kedua-dua negara berkenaan menyatakan bahawa pesakit terbabit melawat Wuhan sebelum itu.

Setakat ini, tiada pengesahan jangkitan virus dari manusia ke manusia dalam penularan wabak di Wuhan itu, namun suruhanjaya kesihatan terbabit berkata, ada kemungkinan berkenaan.

Seorang doktor Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, tidak mengejutkan sekiranya berlaku ‘beberapa jangkitan terhad dari manusia ke manusia, terutama dalam kalangan ahli keluarga yang saling berhubung rapat’.

WHO memaklumkan bahawa ‘masih ada banyak yang perlu difahami mengenai koronavirus baharu itu’. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X