Selasa, 21 Januari 2020 | 7:47am

Wabak koronavirus: Panel kecemasan WHO bermesyuarat esok

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan bermesyuarat esok untuk menilai sama ada wabak koronavirus di China sebagai kecemasan antarabangsa, kata WHO semalam.

Mesyuarat itu diadakan susulan penyebaran virus berkenaan dari Wuhan, China yang kini sudah menjangkiti hampir 200 orang, merebak ke beberapa bandar China termasuk ibu kota Beijing dan Shanghai dengan kes keempat dilaporkan di luar China.

Pakar kesihatan Beijing pula menyifatkan penyebaran virus itu berlaku daripada manusia ke manusia.

Jumlah mereka yang didiagnosis dengan virus baru itu sudah meningkat kepada 218 orang.

Beijing dan Shanghai mengesahkan kes pertama mereka semalam, manakala kebanyakan yang lain muncul di selatan wilayah Guangdong dan 136 yang baru dikesan Ahad lalu di Wuhan, menurut penyiar CCTV tempatan.

Suruhanjaya kesihatan tempatan pula mengesahkan kematian ketiga di Wuhan, setakat semalam.

Seorang saintis dari Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, Zhong Nanshan, berkata pesakit boleh dijangkiti virus baru tanpa melawat ke bandar itu.

"Pada masa ini, ia boleh dikatakan terdapat fenomena penularan dari manusia kepada manusia," katanya dalam temu bual bersama CCTV.

Nanshan menjelaskan, di Guangdong, terdapat dua pesakit yang dijangkiti oleh ahli keluarga yang melawat Wuhan.

Katanya, 14 kakitangan perubatan yang membantu pesakit koronavirus juga sudah dijangkiti.

Beliau juga menjangka peningkatan kes menjelang Tahun Baru Cina hujung minggu ini, namun menyatakan keyakinannya untuk membendung penyebaran virus. - REUTERS/AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X