Selasa, 21 Januari 2020 | 9:31am
Sebahagian penumpang kapal terbang memakai topeng muka ekoran penyebaran coronavirus. - Foto Reuters
Sebahagian penumpang kapal terbang memakai topeng muka ekoran penyebaran coronavirus. - Foto Reuters
Orang ramai memakai topeng muka ekoran penyebaran coronavirus. - Foto Reuters
Orang ramai memakai topeng muka ekoran penyebaran coronavirus. - Foto Reuters

Koronavirus: Kematian keempat di China

SHANGHAI: Seorang lelaki menjadi mangsa keempat meninggal dunia akibat radang paru-paru di pusat bandar Wuhan, China susulan penyebaran koronavirus baru, menurut pihak berkuasa kesihatan, hari ini.

Lelaki berusia 89 tahun itu mengalami simptom berkenaan pada Isnin minggu lalu, sebelum dimasukkan ke hospital lima hari kemudian, selepas mengalami masalah pernafasan yang teruk, kata Suruhanjaya Kesihatan Perbandaran Wuhan dalam satu kenyataan.

Dia meninggal dunia Ahad lalu.

Suruhanjaya itu berkata, pesakit juga mempunyai rekod kesihatan lain seperti hipertensi, diabetes dan penyakit jantung.

Dalam kenyataan berasingan disiarkan di akaun rasmi Weibo, suruhanjaya itu menjelaskan 15 kakitangan perubatan di bandar itu sudah didiagnosis pneumonia, dengan satu kes disyaki positif.

Katanya, daripada jumlah kakitangan dijangkiti, seorang berada dalam keadaan kritikal.

Wabak coronavirus yang bermula di Wuhan, sudah merebak ke bandar lain termasuk Beijing dan Shanghai, dengan empat kes dilaporkan di luar negara iaitu di Korea Selatan, Thailand dan Jepun.

Pihak berkuasa mengesahkan sejumlah 217 kes baru virus itu di China setakat 6 pagi semalam, menurut televisyen tempatan, dengan 198 daripadanya berada di Wuhan. - REUTERS

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X