Sabtu, 25 Januari 2020 | 11:09am
Pekerja farmasi memakai pakaian pelindung dan topeng muka melayani pelanggan di Wuhan. - Foto AFP
Pekerja farmasi memakai pakaian pelindung dan topeng muka melayani pelanggan di Wuhan. - Foto AFP

China kerah 450 staf perubatan tentera ke pusat wabak

BEIJING: China mengerahkan 450 kakitangan perubatan tentera antaranya mereka yang berpengalaman luas memerangi Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) atau Ebola ke pusat dilanda virus yang mengorbankan setakat ini 41 orang.

Virus coronavirus kini menular ke seluruh dunia, menyebabkan jutaan orang menghabiskan cuti Tahun Baharu Cina di bawah pengasingan.

Persiapan mengadakan sambutan paling penting di negara itu sudah dilakukan namun terpaksa dibatalkan kerana penduduk di puluhan bandar diperintahkan untuk berkurung.

Di hari sambutan perayaan itu pada Sabtu, penduduk di Wuhan sebaliknya dilihat beratur di farmasi untuk membeli topeng muka daripada pekerja yang memakai sut perlindungan lengkap dan sarung tangan.

China melancarkan perintah kuarantin secara besar-besaran di seluruh Wilayah Hubei, sekali gus menjejaskan lebih 40 juta penduduk.

Di bahagian pinggir Timur Wuhan iaitu ibu kota Hubei dan tempat asalnya penemuan coronavirus baharu 2019 (2019-nCoV), polis dilihat mengadakan sekatan jalan raya bagi menghalang mana-mana kenderaan yang cuba keluar dari bandar.

"Tiada sesiapapun boleh meninggalkan tempat ini, " seorang pegawai memberitahu AFP.

Jumlah kematian di seluruh negara meningkat kepada 41 selepas 15 lagi mangsa meninggal di Wuhan, kata kerajaan China, hari ini.

Jangkitan kes yang disahkan di seluruh negara juga melonjak kepada 1,287 daripada 830 yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam sebelum ini. Kebanyakan kematian dan keseluruhan kes direkodkan berlaku di Hubei.

Menerusi pembabitan kerajaan pusat yang dipertingkatkan, China mengerahkan 450 kakitangan perubatan tentera ke Wuhan, lapor media negeri.

Barisan pakar perubatan yang tiba menggunakan pesawat tentera pada Jumaat, akan dikejarkan ke hospital yang dilaporkan kekurangan katil ekoran kebanjiran pesakit yang dijangkiti virus itu.

Semua orang cuba untuk melindungi diri masing-masing, " kata seorang lelaki yang memakai topeng muka di sebuah kedai di mana ramai pelanggan dilihat menambah bekalan alatan perlindungan.

Lelaki itu yang enggan dikenali bagaimanapun menyatakan keyakinan kepada pihak berkuasa China bagi mengawal wabak ini.

Penularan virus itu menyebabkan kebimbangan di peringkat global kerana persamaannya dengan SARS yang pernah mengorbankan ratusan orang di China dan Hong Kong pada 2002 dan 2003, selain ia tersebar ke beberapa negara lain. - AFP

Berita Harian X