Sabtu, 1 Februari 2020 | 10:15am
Virus yang tercetus di ibu negeri Hubei, Wuhan pada Disember lalu itu dikesan bermula di sebuah pasar menjual hidupan liar. - Reuters
Virus yang tercetus di ibu negeri Hubei, Wuhan pada Disember lalu itu dikesan bermula di sebuah pasar menjual hidupan liar. - Reuters

Angka kematian coronavirus di China meningkat kepada 259

BEIJING : Jumlah kematian akibat coronavirus meningkat kepada 259, manakala bilangan kes yang sudah disahkan melonjak kepada hampir 12,000, kata kerajaan hari ini.

Suruhanjaya Kesihatan Nasional dalam perkembangan terkini harian memberitahu, seramai 46 pesakit lagi meninggal dunia akibat penyakit respiratori.

Semua kematian itu kecuali satu, berlaku di wilayah Hubei yang paling teruk terjejas dan juga pusat penyebaran wabak terbabit.

Virus yang tercetus di ibu negeri Hubei, Wuhan pada Disember lalu itu dikesan bermula di sebuah pasar menjual hidupan liar.

Jumlah jangkitan di China turut meningkat kepada 2,102, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 11,791.

Peningkatan dilihat terus berlaku meskipun kerajaan China melaksanakan pendekatan kuarantin ke atas jutaan penduduk Hubei dan mengambil langkah pencegahan di bahagian lain seluruh negara.

Jumlah kematian dan kes terbaru itu menunjukkan peningkatan setiap hari sejak China digegarkan dengan penularan wabak terbabit seminggu lalu.

Ia merebak dengan begitu pantas, serentak dengan lambakan pengguna pengangkutan awam di luar dan dalam negara, sebaik cuti perayaan Tahun Baharu Lunar bermula minggu lalu.

Coronavirus terus tersebar sehingga diisytihar sebagai darurat kesihatan global, susulan penemuan kes di hampir 24 negara lain seluruh dunia.

Seorang pemimpin kanan Parti Komunis di Wuhan turut melahirkan rasa kesal semalam, dan mendakwa pihak berkuasa tempatan di Wuhan bertindak terlalu perlahan dalam membendung penularan virus. - AFP

Berita Harian X