Selasa, 4 Februari 2020 | 11:11am
 Kakitangan farmasi memakai alat perlindungan di Beijing. - REUTERS
Kakitangan farmasi memakai alat perlindungan di Beijing. - REUTERS

China akui sukar tangani virus baharu

BEIJING: Pucuk pimpinan China mengakui mengalami kesukaran dan kesulitan dalam tindak balas terhadap penularan coronavirus, walaupun media tempatan melaporkan hospital baharu sudah dibuka, bagi menerima pesakit dijangkiti wabak 2019-nCoV di pusat krisis terbabit.

64 kematian baharu direkodkan hari ini, melangkaui jumlah kematian dicatatkan semalam, sekali gus menjadikan jumlah kematian terbanyak dalam sehari sepanjang penularan wabak itu di Wuhan.

Jumlah keseluruhan kematian membabitkan sebanyak 425 kes itu juga melebihi angka kematian sebanyak 349 kes di China dan hampir 800 kes di seluruh dunia, susulan penularan wabak SARS, antara 2003 hingga 2003.

Bagaimanapun, kerajaan di Beijing mengecam Amerika Syarikat (AS) kerana mencetuskan 'ketakutan' bagi tindak balas terhadap coronavirus, termasuk sekatan kepada pelancong yang mengunjungi China, baru-baru ini. Ia kini menular di lebih 20 negara dengan beberapa negara sudah melakukan sekatan perjalanan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sudah mengisytiharkan krisis itu sebagai darurat kesihatan awam global dengan kematian pertama susulan penularan wabak itu di luar China dilapor berlaku di Filipina, Ahad lalu.

Dalam tindakan membendung penularan virus itu, Jawatankuasa Tetap Politburo menggesa memperbaiki ‘sistem pengurusan kecemasan kebangsaan' susulan kesukaran dan kesulitan untuk mendedahkan tindak balas terhadap penularan wabak itu, lapor agensi media tempatan, Xinhua.

"Terdapat keperluan untuk memperkukuhkan penyeliaan pasaran, larangan dan penguatkuasaan tegas terhadap penjualan dan pasaran hidupan liar,' kata jawatankuasa tetap berkenaan dalam mesyuarat seperti dilaporkan Xinhua.

Kerajaan juga menjelaskan, kelengkapan perubatan dan topeng muka, sut perlindungan serta kaca mata keselamatan diperlukan segera bagi membendung penularan wabak. Pihak berkuasa di wilayah berkependudukan lebih 300 juta, termasuk Guangdong yang mempunyai populasi teramai di selatan China dengan 113 juta penduduk mengarahkan setiap orang memakai topeng muka.

Bagaimanapun, kilang yang mampu menghasilkan antara 20 juta topeng muka sehari hanya beroperasi dengan kapasiti 60 hingga 70 peratus, kata jurucakap bahagian industri, Tian Yulong, selain menegaskan permintaan kekal sebagai 'keseimbangan ketat' akibat cuti sempena Tahun Baru Cina.

Yulong berkata, pihak berkuasa mengambil langkah untuk membawa masuk topeng muka dari Eropah, jepun dan AS, manakala Kementerian Luar memaklumkan beberapa negara termasuk Korea Selatan, Jepun, Kazakhstan dan Hungary sudah menderma bekalan perubatan. - AFP

Berita Harian X