Sabtu, 8 Februari 2020 | 10:56am
Pegawai perubatan memantu pesakit di sebuah hospital di Wuhan. - Foto AFP
Pegawai perubatan memantu pesakit di sebuah hospital di Wuhan. - Foto AFP

Cirit-birit dikesan agen kedua penyebaran coronavirus - saintis

WASHINGTON : Cirit-birit mungkin adalah agen kedua dalam penyebaran wabak coronavirus, kata saintis semalam susulan penerbitan kajian terbaharu yang mengaitkan simptom berkenaan dengan simptom abdominal dan najis pesakit.

Sumber utama dipercayai berpunca daripada titisan air liur daripada batuk pesakit, walaupun penyelidik pada kes awal berkata, tumpuan lebih diberikan kepada pesakit yang banyak menunjukkan simptom respiratori dan mungkin terlepas pandang aspek berkaitan sistem penghadaman.

Sejumlah 14 daripada 138 pesakit (10 peratus) di hospital Wuhan yang menjadi bahan kajian bagi Jurnal Persatuan Perubatan Amerika (JAMA) didapati mengalami masalah cirit birit dan loya satu atau dua hari sebelum mula dilanda demam dan masalah pernafasan.

Pesakit Amerika Syarikat (AS) pertama yang disahkan positif coronavirus juga mengalami masalah cirit birit selama dua hari dan virus berkenaan dikesan berada dalam najisnya, malah terdapat kes sama turut direkodkan di China.

“Apa yang lebih penting, coronavirus turut dilaporkan terdapat dalam sisa buangan pesakit yang mengalami masalah abdomen, menyamai kesan pada Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) apabila kesan virus itu ditemui dalam sisa air kencing pesakit, sekali gus membuktikan bahawa ia boleh tersebar melalui sisa perkumuhan,” kata profesor jurusan kesihatan alam sekitar di Universiti Southampton, William Keevil.

Kemungkinan itu bagaimanapun bukan sesuatu yang mengejutkan ahli sains kerana virus berkenaan tergolong dalam keluarga yang sama seperti SARS. - Reuters

Berita Harian X