Isnin, 10 Februari 2020 | 7:59am
Gambar fail, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus (kanan), bersama Ketua Program Kecemasan Kesihatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Michael Ryan, bercakap selepas jawatankuasa Kecemasan WHO membincangkan wabak coronavirus di Geneva, Switzerland pada Januari lalu. - Foto AFP/Getty Image
Gambar fail, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus (kanan), bersama Ketua Program Kecemasan Kesihatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Michael Ryan, bercakap selepas jawatankuasa Kecemasan WHO membincangkan wabak coronavirus di Geneva, Switzerland pada Januari lalu. - Foto AFP/Getty Image

Angka korban coronavirus melepasi 900

BEIJING: Angka korban coronavirus sudah melepasi 900 di tanah besar China pada Isnin, mengatasi kematian global akibat epidemik Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2002 hingga 2003, meskipun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan bahawa wabak itu kini kelihatan stabil.

Dengan 91 lagi mangsa meninggal dunia di Hubei yang menjadi pusat penularan wabak itu, jumlah kematian adalah lebih tinggi berbanding 774 di seluruh dunia akibat SARS.

Data terbaru berkenaan menyusul selepas WHO menyatakan kelihatan ‘beberapa kestabilan’ di Hubei untuk empat hari kebelakangan ini, namun memberi amaran bahawa angka itu masih boleh ‘melonjak’.

Menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan pada Isnin, jumlah mangsa disahkan dijangkiti virus berkenaan di China mencecah 40,171 dengan lebih 3,000 kes baharu dilaporkan.

Suruhanjaya itu dalam maklumat kemas kini hariannya berkata, 97 kematian baharu direkodkan, termasuk 91 di wilayah Hubei yang paling teruk terkesan, menjadikan jumlah korban di negara ini ialah 908 mangsa.

Epidemik itu menyebabkan kerajaan melaksanakan langkah kuarantin ketika penduduk meluahkan kemarahan terhadap cara krisis berkenaan ditangani, terutama selepas seorang doktor yang memberi amaran awal mengenai kewujudan virus terbabit turut menjadi mangsa korban.

Kebanyakan penduduk di negara ini masih belum kembali bekerja selepas cuti Tahun Baharu Cina dilanjutkan, manakala pihak berkuasa di bandar termasuk pusat kewangan Shanghai mengarahkan orang ramai untuk memakai topeng ketika berada di kawasan awam.

Ketua Program Kecemasan Kesihatan WHO, Michael Ryan, berkata ‘tempoh stabil’ wabak itu ‘berkemungkinan mencerminkan kesan langkah kawalan yang diambil’.

Satu ‘misi pakar antarabangsa’ WHO sudah berlepas ke China pada Ahad, kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, dalam Twitter. Misi terbabit diketuai seorang veteran kecemasan kesihatan sebelum ini, Bruce Aylward. - AFP

Berita Harian X