Selasa, 11 Februari 2020 | 5:11pm
Gambar fail, kakitangan perubatan memakai pakaian pelindung tiba bersama pesakit di Hospital Palang Merah Wuhan di Wuhan. - Foto AFP
Gambar fail, kakitangan perubatan memakai pakaian pelindung tiba bersama pesakit di Hospital Palang Merah Wuhan di Wuhan. - Foto AFP

Coronavirus: Kajian baharu dapati tempoh inkubasi boleh sampai 24 hari

WUHAN: Data terbaru berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit coronavirus di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.

Kajian oleh sekurang-kurangnya 36 penyelidik dari hospital dan institusi perubatan di China itu mendapati kurang separuh daripada mangsa terbabit menunjukkan simptom dijangkiti virus itu apabila pertama kali bertemu doktor.

Ketua Penyelidik, Dr Zhong Nanshan, yang juga pakar epidemiologi China bertanggungjawab menemui coronavirus Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003, berkata penemuan terbaru itu membuktikan masih banyak yang belum diketahui mengenai 2019-nCoV.

“Kaedah pengesahan 2019-nCoV sebelum ini mungkin kurang sempurna, sekali gus menyebabkan sejumlah besar mereka yang dijangkiti virus ini gagal dikesan.

“Simptom demam hanya dikesan pada 43.8 peratus pesakit tetapi ia kemudian meningkat kepada 87.9 peratus selepas mereka dimasukkan ke hospital,” katanya.

Jelas beliau, ketiadaan simptom demam itu lebih ketara bagi kes 2019-nCoV berbanding SARS dan Sindrom Pernafasan Asia Barat (MERS), bermakna lebih ramai pesakit mungkin gagal dikesan jika pengesahan berasaskan simptom demam semata-mata.

Pesakit yang terbabit dalam penyelidikan itu merangkumi mereka yang mendapat rawatan di 552 hospital dalam 31 wilayah antara 1 hingga 29 Januari, yang mana hanya 1.18 peratus ada hubungan langsung dengan hidupan liar disyaki menjadi punca virus itu.

Hampir satu pertiga daripada mereka pernah mengunjungi Wuhan dan 71.8 peratus ada hubungan dengan seseorang dari Wuhan yang menjadi punca wabak itu, sekali gus membuktikan jangkitan antara manusia kepada manusia.

Kata Dr Zhong, penemuan itu selari dengan laporan terkini menyatakan penularan banyak berlaku dalam perhimpunan keluarga, di mana jangkitan daripada individu yang langsung tiada simptom coronavirus dikesan.

Selain penularan menerusi titisan lendir daripada pernafasan dan sentuhan seperti mana SARS dan MERS, 2019-nCoV didapati boleh juga berjangkit menerusi najis, air liur dan air kencing.

Walaupun pihak berkuasa China tidak melaporkan mengenai mangsa dalam kalangan pekerja hospital, South Central Hospital di Wuhan University melaporkan 40 doktor dan jururawat disahkan positif bagi 2019-nCoV setakat 28 Januari lalu. - AGENSI

Berita Harian X