Isnin, 17 Februari 2020 | 7:13am
Petugas kesihatan yang memakai pakaian khas melakukan semburan bagi membasmi penularan coronavirus (COVID-19) di tempat yang tidak didedahkan di Korea Utara. - Foto AFP
Petugas kesihatan yang memakai pakaian khas melakukan semburan bagi membasmi penularan coronavirus (COVID-19) di tempat yang tidak didedahkan di Korea Utara. - Foto AFP

Angka kematian COVID-19 di China melepasi 1,700 orang

BEIJING: Angka kematian akibat jangkitan coronavirus (COVID-19) mencecah 1,770 kes sehingga hari ini, selepas 105 orang lagi meninggal dunia di wilayah Hubei.

Menerusi laporan perkembangan harian, Suruhanjaya Kesihatan Wilayah itu turut melaporkan 1,933 kes baharu.

Peningkatan kes berbanding semalam mengakhiri penurunan kes baharu bagi tempoh tiga hari berturut-turut.

Lebih 70,500 orang kini dijangkiti di seluruh negara dengan kebanyakannya di Hubei, di mana virus pertama kali muncul pada Disember sebelum merebak menjadi wabak di seluruh negara.

Jumlah kes baharu di wilayah itu menurun sejak peningkatan besar minggu lalu apabila pegawai mengubah kriteria bagi mengira kes dengan memasukkan orang yang didiagnosis menerusi pengimejan paru-paru.

Jumlah kes pada Isnin adalah sekitar 100, lebih tinggi berbanding Ahad tetapi masih mendadak turun berbanding Jumaat dan Sabtu.

Di luar Hubei, jumlah kes baharu merosot dan jurucakap badan kesihatan kebangsaan China semalam berkata angka yang semakin perlahan itu menandakan wabak sedang dikawal.

Bagaimanapun, Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia, (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus memberi amaran bahawa ‘mustahil’ untuk meramalkan arah wabak itu’.

Pakar antarabangsa tiba di Beijing untuk bertemu dengan rakan sejawat mereka bagi membincangkan mengenai wabak itu, kata Tedros di Twitter.

Berita Harian X