Isnin, 24 Februari 2020 | 1:24pm

Kematian COVID-19 di China meningkat kepada 2,592

BEIJING : Jumlah kematian akibat wabak coronavirus (COVID-19) di China meningkat kepada 2,592 hari ini, selepas Suruhanjaya Kesihatan Nasional melaporkan 150 lagi kematian, termasuk satu di luar wilayah Hubei.

Kenaikan berkenaan berlaku dengan mendadak, berbanding 97 kematian yang dilaporkan semalam.

Suruhanjaya berkenaan turut mengesahkan 409 kes baharu di China, termasuk 11 di luar Hubei.

Beberapa wilayah pula tidak mencatatkan sebarang kes sejak kebelakangan ini, walaupun ketika situasi semasa semakin buruk, khususnya di Hubei dan di luar China.

Agensi berita Xinhua melaporkan, hanya satu kematian dilaporkan di Hubei hari ini, membabitkan seorang doktor berusia 55 tahun.

Wabak coronavirus setakat ini sudah merebak ke lebih 25 negara dan menimbulkan kebimbangan di Eropah, Asia Barat dan Asia.

Itali melaporkan kematian ketiga, serentak dengan jumlah kes yang semakin meningkat, sekali gus mendorong pihak berkuasa menggantung sementara perlawanan bola sepak dan memendekkan tempoh Karnival Venice.

Sementara itu di Iran, jumlah kematian meningkat kepada 8 dan mendorong negara jiran melaksanakan larangan perjalanan ke republik Islam itu. - AFP

Berita Harian X