Rabu, 26 Februari 2020 | 6:54pm
Dr Bruce Aylward, pada sidang media di ibu pejabat WHO di Geneva, selepas misi lawatan ke China bagi memantau perkembangan usaha membanteras COVID-19. Foto REUTERS
Dr Bruce Aylward, pada sidang media di ibu pejabat WHO di Geneva, selepas misi lawatan ke China bagi memantau perkembangan usaha membanteras COVID-19. Foto REUTERS

COVID-19: Pegawai kesihatan beri amaran dunia 'tidak bersedia'.

BEIJING: Wabak COVID-19 yang semakin menular dengan kes di Korea Selatan melonjak lebih 1,000 mangsa selain peningkatan kematian di Iran dan jangkitan mula merebak ke negara yang tidak terjejas sebelum ini.

Sebentar tadi, Greece dan Brazil melaporkan kes pertama coronavirus baharu itu, sekali gus menjadi kes pertama di Amerika Selatan manakala Itali mencatatkan satu lagi kematian, menjadikan 12 mangsa menjadi korban COVID-19 di negara itu.

Perkara itu secara tidak langsung menjadi amaran bahawa dunia belum lagi bersedia untuk membendung virus baharu itu.

COVID-19 dikesan merebak dengan cepat di beberapa negara Asia, Eropah dan Asia Barat, walaupun bilangan kes baharu dan kematian makin merosot di pusat kemunculan virus itu di China.

Pekan dan bandar ditutup dalam usaha untuk menghentikan penularan, manakala dalam kes terbaru, hotel di Kepulauan Canary dan Austria turut ditutup kerana ada kes yang disyaki.

Di Iran, 16 kematian dilaporkan daripada hampir 100 jangkitan setakat ini, meskipun Timbalan Menteri Kesihatan negara itu, Iraj Harirchi, menegaskan penularan virus berkenaan sudah diatasi.

Di ibu pejabat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Geneva, Dr Bruce Aylward, yang mengetuai misi pakar antarabangsa ke China, memuji tindakan membendung penukaran virus itu dan kuarantin drastik yang diambil negara itu.

Bagaimanapun, beliau memberitahu wartawan bahawa negara lain ‘tidak begitu bersedia’ untuk mengatasi wabak berkenaan.

"Anda perlu bersedia untuk menguruskannya pada skala yang lebih besar... dan ia perlu dilakukan dengan cepat.

“Anggap COVID-19 akan muncul di tempat anda esok, kalau tidak berfikiran sedemikian, anda tidak mungkin bersedia.

"Penularan pantas virus ini memerlukan tindakan serta merta bagi membendungnya, seperti mana di lakukan China dengan melaksanakan dasar kesihatan awam yang agresif,” katanya.

WHO juga menggesa semua negara ‘bersedia menghadapi kemungkinan berlaku pandemik atau penularan ke serata dunia, terutama negara miskin yang menghadapi kekangan kewangan atau sumber bagi menghadapi serangan COVID-19.

Sementara itu di Amerika Syarikat (AS), Timbalan Pengarah Pusat Kawalan Penyakit dan Pencegahan (CDC), Anne Schuchat, berkata keadaan global kini menunjukkan pandemik berkemungkinan besar berlaku.

COVID-19 mengorbankan lebih 2,715 orang dan menjangkiti lebih 78,000 orang di China dengan 52 lagi kematian dilaporkan semalam, yang paling rendah dalam tempoh tiga minggu, tanpa kematian di luar pusat asal virus itu di Hubei.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China turut melaporkan penurunan jangkitan baharu kepada 406 kes, dengan hanya lima di luar Hubei, sekali gus meningkatkan keyakinan bahawa seluruh negara sedang berjaya membendung wabak itu. - AGENSI

Berita Harian X