Selasa, 7 April 2020 | 11:23am
PELL (tengah) ketika menghadiri kes di Mahkamah Tinggi Australia untuk tuduhan kes gangguan seksual terhadap kanak-kanak lelaki. - Foto AFP
PELL (tengah) ketika menghadiri kes di Mahkamah Tinggi Australia untuk tuduhan kes gangguan seksual terhadap kanak-kanak lelaki. - Foto AFP

Pertuduhan paderi katolik, kes gangguan seksual dibatalkan

BRISBANE: Mahkamah Tinggi Australia membatalkan pertuduhan terhadap bekas Ketua Kewangan Vatican, Cardinal George Pell, sekali gus paderi Katolik tertinggi di dunia itu bakal dibebaskan daripada hukuman penjara.

Tertuduh berusia 78 tahun itu disabitkan atas lima tuduhan melakukan gangguan seksual terhadap dua kanak-kanak koir lelaki sekitar tahun 1990-an.

Bagaimanapun, beliau terlepas daripada hukuman apabila mahkamah membatalkan keputusan awal juri dan mahkamah rayuan lebih rendah.

Sepanjang proses perbicaraan berprofil tinggi yang berlangsung dalam tempoh panjang itu, Pell kekal dengan pengakuan tidak bersalah ke atas semua pertuduhan yang disabitkan.

Terdahulu, seorang juri menjatuhkan hukuman terhadap Pell pada Disember 2018 sebelum keputusan itu dipertahankan oleh tiga hakim panel di mahkamah rayuan negeri Victoria pada Ogos lalu, dalam keputusan majoriti 2-1.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Australia mendapati terdapat kemungkinan besar tertuduh tidak melakukan kesalahan berkenaan memandangkan bukti yang ada tidak cukup konkrit bagi sabitan.

Kes pendakwaan itu banyak bergantung kepada pengakuan salah seorang mangsa yang masih hidup.

Dalam keterangannya pada sesi perbicaraan tertutup, mangsa membuat pengakuan dicabul dalam sebuah gereja di Melbourne dan waktu itu tertuduh memegang jawatan ketua gereja di bandar itu.

Manakala seorang lagi mangsa yang tidak diketahui sama ada pernah membuat pengakuan mengenai kes itu meninggal dunia akibat pengambilan dadah berlebihan pada 2014.

Pell akan dibebaskan dari penjara di Victoria, namun jawatannya dalam gereja Katolik masih belum dapat dipastikan sama ada akan kekal atau sebaliknya.

Sepanjang perbicaraan kes, Pell telah digugurkan secara dalaman daripada badan gereja, bagaimanapun Vatican menolak untuk melancarkan siasatan terperinci mengenai kesnya. - AFP

Berita Harian X