Rabu, 8 April 2020 | 6:53pm
Ubat anti-malaria hydroxychloroquine.
Ubat anti-malaria hydroxychloroquine.

COVID-19: Sedia terima balasan jika tidak eksport ubat ke AS - Trump

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata jika India tidak membenarkan eksport ubat anti-malaria hydroxychloroquine ke AS seperti diminta, mungkin akan ada tindak balas terhadap negara berkenaan.

INDIA TODAY melaporkan, minggu lalu, Trump meminta bantuan Perdana Menteri India, Narendra Modi, untuk membenarkan jualan hydroxychloroquine yang ditempah oleh AS untuk merawat pesakit COVID-19 yang semakin meningkat di negaranya, beberapa jam selepas India melarang eksport ubat anti-malaria.

"Jika keputusan beliau tidak mahu eksport, ia sangat mengejutkan dan perlu memberitahu saya kerana saya sudah menelefonnya pada Ahad lalu dan berbesar hati sekiranya negaranya membenarkan eksport ubatan berkenaan.

"Namun jika beliau tidak membenarkan, tidak mengapa, tapi tahulah, pasti ada pembalasan. India boleh melakukan eksport kerana mempunyai hubungan yang baik dengan AS,” katanya.

Tablet hydroxychloroquine digunakan untuk merawat penyakit malaria, lupus dan arthritis dan penyakit lain.

Ia dilihat sebagai penyelesaian terapeutik yang berdaya maju untuk melawan COVID-19 yang kini mengakibatkan lebih 10,000 kematian penduduk AS.

Keputusan India melarang eksport hydroxychloroquine kerana ingin memastikan stok bagi keperluan domestik dan negaranya mencukupi.

Isnin lalu, Pemangku Penolong Setiausaha Negara bagi Asia Selatan dan Tengah, Alice G Wells, berkata India sudah lama menjadi rakan kepada AS dalam sektor farmasutikal dan ia menjangka kerjasama yang sama akan berterusan di antara kedua negara.

Pentadbiran Trump juga mewujudkan stok simpanan strategik nasional sebanyak 29 juta dos ubat malaria, menjangkakan bahawa hasil ujian terhadap lebih daripada 1,500 pesakit COVID-19 di New York adalah positif.

Saintis sudah menjalankan ujian terhadap hydroxychloroquine dan chloroquine bagi rawatan COVID-19 dan minggu lalu Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) mengeluarkan kebenaran penggunaan kecemasan untuk preskripsi ubat dalam keadaan tertentu.

Sebagai tambahan di New York, pesakit COVID-19 di beberapa negeri dirawat menggunakan hydroxychloroquine, termasuk di Michigan dan Texas. - INDIA TODAY

Berita Harian X