Khamis, 9 April 2020 | 1:23pm
JUTAWAN hartanah, Ren Zhiqiang.
JUTAWAN hartanah, Ren Zhiqiang.

COVID-19: Beijing siasat jutawan hartanah

BEIJING: Jutawan hartanah yang lantang mengkritik Parti Komunis China, Ren Zhiqiang, disiasat kerana ‘pelanggaran serius terhadap disiplin dan undang-undang’.

Lewat petang kelmarin, Suruhanjaya untuk Pemeriksaan Disiplin Beijing mengumumkan bahawa bekas pengerusi pemaju hartanah milik negara, Beijing Huayuan Group itu sedang disiasat.

Golongan pejuang kanan menuduh Presiden Xi Jinping dan parti komunis itu menggunakan dakwaan seperti ‘pelanggaran disiplin’ yang sering dianggap merujuk kepada rasuah, sebagai satu cara untuk mendiamkan perbezaan pendapat.

Zhiqiang dilaporkan hilang, bulan lalu, tidak lama selepas menulis sebuah esei yang lantang mengkritik tindak balas Jinping dalam menangani wabak COVID-19.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pesara usahawan itu muncul sebagai antara pengkritik parti berkenaan yang paling lantang dalam dunia perniagaan.

Esei beliau itu telah dipadamkan daripada Internet di China yang sering menapis kandungan mencabar pihak berkuasa, namun ia sempat dikongsikan ke luar negara ini dan satu salinan disimpan oleh China Digital Times.

Zhiqiang juga adalah seorang penulis blog berpengaruh dalam platform Weibo dengan mempunyai jutaan pengikut.

Akaunnya bagaimanapun ditutup oleh pihak berkuasa pada 2016 selepas beliau berulang kali menyeru supaya lebih banyak kebebasan diberikan kepada media. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X