Khamis, 9 April 2020 | 1:28pm
POLIS New South Wales (NSW) yang memakai sut pelindung diri dan topeng muka, menyerbu kapal itu di Pelabuhan Kembla, kira-kira 80 kilometer di selatan Sydney, malam tadi. - Foto AFP
POLIS New South Wales (NSW) yang memakai sut pelindung diri dan topeng muka, menyerbu kapal itu di Pelabuhan Kembla, kira-kira 80 kilometer di selatan Sydney, malam tadi. - Foto AFP

COVID-19: Polis serbu kapal persiaran terjejas jangkitan COVID-19

SYDNEY: Polis Australia menyerbu kapal persiaran Ruby Princess yang terjejas dengan jangkitan COVID-19, dan merampas kotak hitamnya, kata pihak berkuasa itu, hari ini.

Ia adalah sebahagian daripada tindakan siasatan jenayah selepas ribuan penumpang kapal itu dibenarkan turun di Sydney dan 15 daripada mereka kemudian meninggal dunia akibat penyakit berkenaan.

Menurut polis New South Wales (NSW), anggota yang memakai sut pelindung diri dan topeng muka, menyerbu kapal itu di Pelabuhan Kembla, kira-kira 80 kilometer di selatan Sydney, malam tadi.

“Pegawai polis memasuki Ruby Princess untuk mengumpulkan bukti... kapal mempunyai kotak hitam yang amat serupa dengan pesawat antarabangsa dan bukti lain juga sudah dirampas,” kata Pesuruhjaya Polis NSW, Mick Fuller, kepada media.

Ruby Princess berlabuh pada Isnin lalu selepas berminggu-minggu terkandas di laut, bagi membolehkan doktor memeriksa kru yang sakit dan membawa kes paling serius ke darat untuk rawatan.

Polis melancarkan siasatan jenayah ke atas pengendali Carnival Australia berhubung keadaan yang membawa kepada beribu-ribu penumpang turun pada pertengahan Mac lalu walaupun ada yang menunjukkan simptom seperti selesema.

Beratus-ratus penumpang kemudian didiagnosis dengan COVID-19 dan sekurang-kurang 15 meninggal dunia, iaitu hampir satu per tiga daripada jumlah 51 kematian di Australia. Negara ini mencatatkan lebih 6,000 kes jangkitan disahkan.

Fuller berkata, lebih seribu kru masih berada di atas kapal itu dan majoritinya mahu kekal di sana.

“Mereka berasa selamat di atas kapal itu,” katanya.

Ruby Princess boleh terus berada di pelabuhan hingga 10 hari untuk mengisi minyak dan bekalan sebelum meninggalkan Australia, namun pihak berkuasa menyatakan bahawa kru tidak akan dibenarkan pergi kecuali kecemasan. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X