X
Khamis, 21 Mei 2020 | 7:18pm
Pertikaian sengit berlaku di antara negeri-negeri di Australia, dengan beberapa pihak menolak untuk membuka semula sempadan domestik kepada orang luar. - Foto fail AFP
Pertikaian sengit berlaku di antara negeri-negeri di Australia, dengan beberapa pihak menolak untuk membuka semula sempadan domestik kepada orang luar. - Foto fail AFP

COVID-19: Negeri di Australia tolak buka sempadan domestik

BRISBANE, AUSTRALIA: Pertikaian sengit berlaku di antara negeri-negeri di Australia, dengan beberapa pihak menolak untuk membuka semula sempadan domestik kepada orang luar walaupun terdapat penurunan besar dalam jangkitan COVID-19.

Beberapa negeri yang terdiri lebih dari tiga perempat dari benua Australia menutup pintu kepada rakan senegara dari kawasan seperti Sydney dan Melbourne pada akhir bulan Mac dan menolak untuk membukanya semula.

Seperti Jerman dan Amerika Syarikat (AS) atau India, negeri-negeri di Australia juga mempunyai kuasa yang cukup besar dan berupaya menentukan maklum balas COVID-19 mereka sendiri, kadang-kadang mengabaikan garis panduan Canberra.

Sementara itu negara yang bergantung kepada pelancongan seperti Greece dan Iceland mula membuka pintu kepada pelancong luar minggu ini, tetapi Australia masih lagi berbincang faedah kepada pelancongan domestik.

Pengkritik menyatakan sekatan itu langsung tiada asas perubatan berikutan kes berkurangan dan mungkin akan merosakkan ekonomi, menjadikan ia mustahil untuk memulakan semula perdagangan dan pelancongan sepenuhnya.

Ketua Menteri Queensland, Annastacia Palaszczuk, juga menolak tuntutan dari negeri jiran, New South Wales untuk membuka semula sempadan negeri bersama.

"Kami tidak mahu menjadi negeri paling teruk di Australia," katanya.

New South Wales termasuk Sydney, menyumbang lebih 3,000 daripada 7,000 kes COVID-19 yang disahkan di Australia dan hampir separuh daripada 100 kematian akibat virus berkenaan.

Tetapi keadaan yang semakin reda sejak dua hari lalu menggesa Ketua Menteri, Gladys Berejiklian, untuk membuka pintu sempadannya.

Berejiklian berkata, amat tidak logik pada tahap ini untuk mengekalkan penutupan sempadan untuk jangka masa yang lama dan menyatakan pemimpin lain bermain politik.

"Apa yang penting bagi kita sekarang sebagai sebuah negara adalah untuk mendapatkan pekerjaan dan menghentikan ekonomi kita dari terus jatuh dalam beberapa bulan ini," katanya. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X