X
Jumaat, 22 Mei 2020 | 12:16pm
Jurucakap Parlimen, Zhang Yesui. - Foto AFP
Jurucakap Parlimen, Zhang Yesui. - Foto AFP

Cadang undang-undang keselamatan baharu di Hong Kong

BEIJING: Parlimen China hari ini akan membentangkan cadangan bagi memperkenalkan undang-undang keselamatan baharu di Hong Kong dalam sesi persidangan tahunannya.

Pengumuman yang dibuat semalam itu mendapat kritikan daripada penggubal undang-undang prodemokrasi dan aktivis yang menyifatkan ia sebagai 'penamat kepada Hong Kong'.

Mereka turut bimbang ia bakal menjadi punca berlaku rusuhan dan memperketatkan kawalan Beijing ke atas bandar yang ditadbir secara semi autonomi itu.

Bagaimanapun, China menjelaskan undang-undang keselamatan baharu itu perlu diperkenalkan selepas berlakunya pelbagai kekacauan khususnya oleh penunjuk perasaan pro-demokrasi secara besar-besaran sejak tujuh bulan lalu, selain ada di antara protes yang dijalankan membabitkan unsur keganasan pada tahun lalu.

Jurucakap Parlimen, Zhang Yesui, berkata cadangan yang dirancang untuk dibentangkan pada hari pertama Kongres Rakyat Nasional (NPC) berlangsung akan memperkukuhkan 'mekanisme penguatkuasaan' di pusat kewangan itu.

Parlimen China turut melihat undang-undang keselamatan baharu itu perlu diwujudkan bagi memperbaiki dan memperkukuh polis 'satu negara, dua sistem' bagi China dan Hong Kong.

Menurut China, ia perlu dilaksanakan bagi melarang hasutan, pemisahan dan penukaran.

Dalam pada itu, Zhang tidak menjelaskan secara lebih lanjut mengenai undang-undang baharu yang dicadangkan itu.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Morgan Ortagus, memberi amaran sekiranya undang-undang berkenaan diperkenalkan di Hong Kong, ia pasti menyebabkan ketidakstabilan yang serius.

Katanya, perkara itu sudah pasti akan ditentang sepenuhnya oleh Amerika Syarikat dan komuniti antarabangsa. - AFP

Berita Harian X