X
Jumaat, 22 Mei 2020 | 12:58pm
Pasukan Sempadan Australia (ABF).
Pasukan Sempadan Australia (ABF).

Australia lanjutkan sekatan bagi kapal persiaran

SYDNEY: Australia hari ini mengumumkan melanjutkan larangan kepada hampir semua kapal persiaran antarabangsa dalam tempoh tiga bulan sehingga pertengahan September ini.

Bagaimanapun, ia tidak menyebut pengecualian yang diharapkan bagi perjalanan ke negara jirannya, New Zealand.

Larangan itu membabitkan kapal persiaran yang mampu membawa lebih daripada 100 penumpang, kata Pasukan Sempadan Australia (ABF) dalam satu kenyataan.

Perlanjutan larangan ini bagaikan satu tamparan kepada industri pelayaran mewah yang sebelum ini turut berdepan sekatan daripada negara lain termasuk Amerika Syarikat dan Seychelles.

Kali pertama Australia mengumumkan larangan berkenaan pada 27 Mac lalu apabila kira-kira 20 kapal berada dalam kawasan perairannya.

Ia berikutan beratus-ratus warga Australia yang turun dari kapal berkenaan kemudiannya disahkan positif COVID-19.

Lebih 20 kematian daripada jumlah keseluruhan angka korban di negara itu yang kini mencecah 101 orang berpunca daripada penumpang kapal persiaran.

Kebanyakan kes positif dan kematian ini berkaitan dengan kapal persiaran Ruby Princess yang tiba di Sydney pada akhir Mac lalu.

Australia turut menutup sempadannya terhadap bukan penduduknya dan masih tidak membenarkan warga asing daripada memasuki negara itu untuk jangka masa tertentu. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X