Sabtu, 23 Mei 2020 | 11:46am
Operasi menyelamat dijalankan di lokasi pesawat penumpang terhempas di Karachi, semalam. - FOTO AFP
Operasi menyelamat dijalankan di lokasi pesawat penumpang terhempas di Karachi, semalam. - FOTO AFP

Tragedi pesawat terhempas di Karachi: 97 maut, 2 terselamat

KARACHI: Seramai 97 orang maut, manakala dua lagi terselamat, apabila sebuah pesawat penumpang terhempas ke atas rumah, di sini, semalam, kata pegawai kesihatan, hari ini.

Pesawat Pakistan International Airlines (PIA) itu dilaporkan membuat pelbagai percubaan untuk mendarat di lapangan terbang bandar itu sebelum terhempas di kawasan perumahan dan turut merosakkan bangunan, sekali gus menyaksikan operasi menyelamat dikerah sepanjang malam tadi.

Semua penumpang serta anak kapal telah dikira, dan mayat mangsa ditemui di lokasi nahas dengan 19 daripadanya sudah dikenal pasti, kata Kementerian Kesihatan Sindh.

Terdahulu, sebuah hospital tempatan melaporkan ia telah menerima mayat mangsa yang terkorban di atas tanah dalam kejadian itu.

Lokasi nahas berkenaan masih ditutup, setakat pagi ini.

Asap tebal kelihatan berkepul ke udara ketika anggota penyelamat dan penduduk berusaha mengesan mangsa di sebalik serpihan, manakala bomba pula bergelut memadamkan kebakaran.

Seorang wartawan AFP di lokasi kejadian turut menyaksikan mayat rentung dibawa ke dalam ambulans.

Menurut PIA, pesawat berkenaan terputus hubungan dengan pusat kawalan trafik udara sejurus jam 2.30 petang waktu tempatan ketika dalam penerbangan dari Lahore ke Karachi.

Kemalangan itu berlaku ketika warga Pakistan sedang membuat persiapan menyambut Aidilfitri dengan ramai dalam perjalanan pulang ke kampung halaman.

Sementara itu anggota bomba di lokasi kejadian, Sarfraz Ahmed, memberitahu AFP bahawa bahagian muncung dan fiuslaj pesawat Airbus A320 itu mengalami kerosakan teruk akibat nahas berkenaan.

Malah, beliau berkata, anggota penyelamat mengeluarkan mayat yang ditemui masih memakai tali pinggang keselamatan di tempat duduk.

Juruterbang pesawat itu, Sajjad Gull, yang menurut satu kenyataan rasmi adalah juruterbang kanan A320 dengan pengalaman luas, dikatakan mengadu timbul masalah selepas melakukan percubaan kali kedua ke landasan, sebelum pusat kawalan trafik udara terputus hubungan dengan beliau.

PIA menjanjikan siasatan bebas sepenuhnya.

Menteri Dalam Negeri, Ijaz Ahmad Shah, pula memaklumkan bahawa pesawat itu dipercayai mengalami masalah teknikal dan juruterbang dikatakan membuat panggilan kecemasan selepas satu enjinnya tidak berfungsi. - AFP

Berita Harian X