Ahad, 31 Mei 2020 | 4:56pm
Bas mini yang membawa pekerja Khurshid TV, mengalami kerosakan teruk akibat letupan bom yang mengorbankan seorang wartawan penyiaran di Kabul. - Foto AFP
Bas mini yang membawa pekerja Khurshid TV, mengalami kerosakan teruk akibat letupan bom yang mengorbankan seorang wartawan penyiaran di Kabul. - Foto AFP

Wartawan terbunuh letupan bom di Kabul

KABUL: Seorang wartawan penyiaran terbunuh dalam letupan bom, di sini, semalam.

Insiden berlaku tidak lama selepas seorang pegawai Afghanistan yang dilantik untuk mengetuai rundingan damai dengan Taliban, memaklumkan pasukannya sudah bersedia untuk mengadakan dialog sekian lama tertangguh itu.

Menurut Agensi Perisikan SITE, letupan itu yang disasarkan ke arah sebuah bas mini membawa 15 pekerja syarikat televisyen swasta Khurshid TV, didakwa didalangi kumpulan IS.

Serangan itu yang disifatkan kerajaan sebagai 'kejam', meragut nyawa seorang wartawan dan pemandu, sekali gus merencatkan usaha mengurangkan keganasan susulan gencatan senjata selama tiga hari pada 24 Mei lalu.

Beberapa jam sebelum kejadian itu, Abdullah Abdullah yang dilantik mengetuai rundingan damai dengan Taliban, memaklumkan bahawa pasukannya sudah bersedia untuk memulakan dialog berkenaan.

"Gencatan senjata, pengurangan keganasan dan pertukaran tahanan membuka laluan kepada permulaan yang terbaik.

"Pasukan rundingan damai sudah bersedia untuk memulakan perbincangan pada bila-bila masa," katanya pada sidang media pertama beliau selepas dilantik.

Beliau bagaimanapun menegaskan perlunya gencatan senjata baharu dilaksanakan ketika rundingan damai itu berlangsung.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, serangan di tengah Kabul yang menyasarkan bas mini Khurshid TV itu menyebabkan bahagian hadapan kenderaan berkenaan rosak teruk.

Ia adalah serangan kedua seumpamanya yang menyasarkan kakitangan Khurshid TV dalam tempoh kurang setahun. - AFP

Berita Harian X