Ahad, 31 Mei 2020 | 8:10pm

COVID-19: Iran rekod kes melebihi 150,000

TEHRAN: Kes jangkitan COVID-19 di Iran adalah melebihi 150,000, hari ini, sekali gus disifatkan sudah melepasi paras mengerikan, di saat negara itu sedang berusaha untuk membendung jumlah kenaikan, baru-baru ini.

Kerajaan sebelum ini menarik balik sebahagian besar sekatan yang dikenakan untuk menghentikan wabak COVID-19 yang mula melanda negara itu pada pertengahan Februari lalu.

Namun, kementerian kesihatan memberi amaran bahawa risiko berlakunya semula wabak itu membabitkan kluster terbaru di beberapa wilayah.

Jurucakap kementerian, Kianoush Jahanpour, berkata sebanyak 2,516 kes terbaru disahkan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam terakhir menjadikan jumlah keseluruhan ialah 151,466.

Jangkitan dilaporkan semakin meningkat di Republik Islam itu selepas dua bulan sejak 2 Mei lalu, kes direkodkan berada pada paras terendah.

Jahanpour berkata, wabak itu juga meragut 63 nyawa dalam tempoh sama, menjadikan jumlah keseluruhan kematian ialah 7,797 orang.

Sehingga kini kerajaan hanya menguatkuasakan semula perintah larangan di wilayah Khuzestan yang terletak di barat daya Iran iaitu bersempadan dengan Iraq.

Iran kini berada pada skala risiko pada tahap tertinggi melalui kod warna merah.

Pakar di dalam dan luar negara bagaimanapun menyuarakan keraguan berhubung jumlah rasmi COVID-19 di Iran dengan mendakwa angka korban sebenarnya jauh lebih tinggi. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X