Ahad, 31 Mei 2020 | 9:19pm
Aktivis pro-China mengkritik AS berhubung rusuhan yang berlaku di negara itu. Foto AFP
Aktivis pro-China mengkritik AS berhubung rusuhan yang berlaku di negara itu. Foto AFP

Media China guna elemen perkauman kritik AS berhubung Hong Kong

BEIJING: Saluran media di Cina menjadikan Amerika Syarikat (AS) sebagai sasaran, selepas membandingkan penganjuran demonstrasi dan keganasan di beberapa bandar di negara itu dengan gerakan pro-demokrasi di Hong Kong.

Difahamkan, Beijing sudah lama berang dengan kritikan dilemparkan dari ibu negara Barat itu, khususnya Washington terhadap pengendalian protes pro-demokrasi yang menggegarkan Hong Kong, tahun lalu.

Justeru, ketika pergolakan melanda seluruh AS atas ketidaksamaan kaum dan kekejaman polis atas kematian ketika penahanan seorang lelaki kulit hitam yang tidak bersenjata, jurucakap wakil kerajaan dan media rasmi melancarkan tentangan secara meluas terhadap pihak berkuasa AS.

"Speaker Dewan AS, Nancy Pelosi pernah menyebut berhubung demonstrasi ganas di Hong Kong sebagai suatu pemandangan yang indah untuk diamati ... dan kini ahli politik AS boleh menikmati pemandangan sama di tempat mereka sendiri, " kata Ketua Pengarang Global Times, Hu Xijin pada Sabtu.

"Entah bagaimana ia seolah-olah seperti perusuh radikal di Hong Kong masuk ke AS dan menimbulkan kekacauan seperti yang mereka lakukan tahun lalu," katanya.

China menegaskan bahawa 'kuasa asing' yang harus dipersalahkan atas kekacauan di Hong Kong, di mana penunjuk perasaan pro-demokrasi yang digambarkan Beijing sebagai perusuh, berarak hingga mencecah jutaan ramainya sejak Jun tahun lalu dan sering bertempur dengan polis.

Beijing mencetuskan kemarahan dan kebimbangan awal bulan terhadap rancangan untuk melaksanakan undang-undang di Hong Kong yang bertujuan melindungi keselamatan nasional serta mengekang keganasan.

Tindakan itu bagaimanapun dikutuk oleh aktivis pro-demokrasi dan negara Barat kerana ia disifatkan sebagai cubaan untuk menyekat kebebasan di bandar unik itu.

Susulan pengumuman Presiden AS, Donald Trump bahawa beliau akan melucutkan hak istimewa Hong Kong, sebuah komen yang diterbitkan menerusi China Daily, iaitu lidah rasmi parti komunis yang mentadbir kerajaan kini, menyatakan bahawa ahli politik AS itu bermimpi untuk menindas China.

"Lebih baik hentikan mimpi itu dan kembali kepada realiti. Keganasan sudah berleluasa di seluruh AS ... ahli politik AS sepatutnya melakukan kerja masing-masing dan bantu menyelesaikan masalah di negara itu, daripada cuma mewujudkan masalah baharu dan kekacauan di negara lain, " katanya.

Situasi di Hong Kong memburukkan lagi ketegangan antara AS dan China yang sebelum ini sudahpun terjadi disebabkan beberapa isu, termasuk perdagangan dan pandemik COVID-19, di mana Trump menuduh Beijing kurang telus dalam hal berkenaan.

Ketika keganasan melanda AS sepanjang minggu ini, jurucakap Kementerian Luar China, Hua Chunying juga menjadikan Washington sebagai sasarannya pada Sabtu.

"Saya tidak boleh bernafas, " katanya melalui ciapan di Twitter, bersama petikan imej ciapan jurucakap Jabatan Negara AS, Morgan Ortagus yang mengkritik kerajaan China mengenai pelaksanaan dasar di Hong Kong.

Melalui ciapan di Twitter itu, Hua memetik kata-kata George Floyd sebelum kematiannya, selepas seorang polis meriba lehernya selama hampir sembilan minit, sekali gus mencetuskan rusuhan di AS. - AFP

Berita Harian X