Isnin, 1 Jun 2020 | 7:18am
 Penunjuk perasaan berarak di Country Club Plaza, Kansas City, Missouri. - AFP
Penunjuk perasaan berarak di Country Club Plaza, Kansas City, Missouri. - AFP

Tunjuk perasaan AS masuki hari keenam

MINNEAPOLIS: Pegawai kerajaan, penguat kuasa undang-undang dan penunjuk perasaan di bandar sekitar Amerika Syarikat (AS) berada dalam keadaan siap siaga, bagi berdepan demonstrasi yang memasuki hari keenam, susulan kematian lelaki kulit hitam, George Floyd ketika berada dalam tahanan polis.

Tunjuk perasaan secara aman bermula di Twin Cities dan menular ke kawasan metropolitan di pinggir bandar serta bandar AS, dengan jumlah peserta semakin bertambah setiap kali.

Senario itu menyebabkan pertempuran mula tercetus antara orang ramai dan pihak berkuasa, memaksa khidmat Pengawal Nasional di lokasi kejadian.

Dalam tunjuk perasaan itu, beberapa bangunan dibakar peserta, sekali gus membawa kepada pengisytiharan perintah berkurung, selain tembakan peluru getah, peluru lada dan gas pemedih mata.

Ribuan penunjuk perasaan ditahan, dan dijangka lebih ramai dikenakan tindakan undang-undang, serentak dengan pelaksanaan perintah berkurung di beberapa bandar.

Polis menahan 2,564 peserta di 24 bandar AS sepanjang hujung minggu, lapor tinjauan oleh Washington Post.

Hampir satu perlima penahanan itu dibuat di Los Angeles yang menyaksikan ribuan penunjuk perasaan bertempur dengan polis, Sabtu lalu, sekali gus memaksa 500 hingga 700 Pengawal Nasional dikerah berkawal di bandar terbabit.

Antara dakwaan dikenakan ke atas peserta ditahan termasuk mencabuli peraturan perintah berkurung, rompakan dan merosakkan hartanah, susulan peningkatan kes kecurian akibat demonstrasi itu.

Gabenor Miami, Francis Suarez berkata, perintah berkurung di bandar itu akan bermula seawal jam 8 malam (waktu tempatan).

Katanya, tunjuk perasaan secara aman dibenarkan namun perintah berkurung tetap akan dilaksanakan.

Seramai 57 individu ditahan di Miami pada tunjuk perasaan Sabtu lalu. - Agensi

Berita Harian X