Rabu, 5 Ogos 2020 | 7:42am

Letupan di Beirut: Angka terkorban, cedera terus meningkat

BEIRUT: Jumlah mangsa korban dalam letupan kuat di sebuah gudang di pelabuhan dekat sini, petang Selasa, terus meningkat.

Setakat ini, lebih 70 terbunuh manakala 3,000 lagi dilaporkan cedera dalam dua siri letupan besar di ibu kota Lebanon, lapor agensi berita ArabNews.

Letupan di kawasan pelabuhan ibu kota itu dengan gegaran kuat boleh dirasai sehingga ke Cyprus yang terletak kira-kira 200 kilometer (km) daripada lokasi kejadian.

Terdapat rakaman video yang menunjukkan letupan awal dengan kepulan asab tebal serta api marak menjulang dan menggegarkan bangunan di sekitar ibu kota.

Pada masa sama, kedengaran jeritan penduduk yang bergegas menyelamatkan diri di dalam restoran dan dari balkoni kediaman masing-masing.

Kebanyakan daripada mereka menyangkakan kejadian berpunca daripada gegaran kuat gempa bumi.

Keadaan bangunan yang musnah dalam letupan di sebuah gudang di Beirut. - Foto AFP
Keadaan bangunan yang musnah dalam letupan di sebuah gudang di Beirut. - Foto AFP

Akibat letupan itu, banyak bangunan di ibu kota itu musnah dengan tingkap kediaman berkecai dan siling runtuh.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Kesihatan Lubnan, Hamad Hasan, berkata letupan itu mencatatkan 'angka kecederaan yang tinggi'.

Bagaimanapun, punca sebenar letupan itu masih belum diketahui.

Ketua Keselamatan Dalaman Lubnan, Abbas Ibrahim, dalam satu kenyataan, enggan menimbulkan sebarang spekulasi berhubung tragedi berkenaan berikutan siasatan terperinci sedang dijalankan.

Letupan itu berlaku beberapa hari sebelum tribunal antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjatuhkan hukuman terhadap empat lelaki yang dituduh membunuh bekas Perdana Menteri, Rafik Hariri dan 21 individu lain dalam satu kejadian pengeboman pada 2005.

Suspek dikenal pasti sebagai anggota kumpulan militan Iran, Hezbollah.

Kejadian letupan itu amat mengejutkan penduduk yang masih bergelut menghadapi ancaman pandemik COVID-19 dan dalam masa sama, kerajaan turut menyebabkan negara itu krisis kewangan yang serius. - AGENSI

Keadaan bangunan yang musnah dalam letupan di sebuah gudang di Beirut. - Foto AFP
Keadaan bangunan yang musnah dalam letupan di sebuah gudang di Beirut. - Foto AFP
Helikopter sedang memadam kebakaran di gudang yang mengakibatkan letupan kuat di pelabuhan di Beirut, Lubnan, petang Selasa. - Foto AFP
Helikopter sedang memadam kebakaran di gudang yang mengakibatkan letupan kuat di pelabuhan di Beirut, Lubnan, petang Selasa. - Foto AFP
Anggota Palang Sabit Merah Lubnan menyelamatkan wanita yang cedera dalam kejadian letupan di pelabuhan di Beirut, Lubnan, petang Selasa. - Foto AFP
Anggota Palang Sabit Merah Lubnan menyelamatkan wanita yang cedera dalam kejadian letupan di pelabuhan di Beirut, Lubnan, petang Selasa. - Foto AFP
Berita Harian X