Ahad, 14 Januari 2018 | 11:25pm

8 maut, 38 cedera kebakaran di Portugal

LISBON: Lapan maut, manakala 38 lagi cedera dan sembilan daripadanya parah dalam kebakaran di sebuah pusat komuniti tempatan di utara Portugal, hari ini, ketika orang ramai sedang menonton perlawanan bola sepak.

Menurut Ketua Pasukan Tindakan Kecemasan, Carlos Pereira kepada AFP, sembilan mangsa yang parah dibawa ke hospital di Lisbon dan Porto menggunakan helikopter.

Terdahulu, pegawai perlindungan awam, Paulo Santos, berkata seramai 50 hingga 60 orang cedera dalam insiden itu.

"Ia berlaku dengan pantas. Seluruh tingkat terbakar dalam tempoh lima minit.

"Akibat panik semua orang berlari ke arah pintu menyebabkan pintu itu sukar dibuka," kata mangsa yang terselamat, Julio Dias kepada akhbar harian Publico.

Katanya, tidak berapa kemudian pintu itu berjaya dibuka selepas pasukan menyelamat membukanya dengan menggunakan tali yang diikat pada kenderaan pelbagai guna.

Sementara itu, Presiden Portugal, Marcelo Rebelo de Sousa dilaporkan turut meninjau lokasi kejadian terbabit.

Menurut pihak berkuasa, kebakaran dipercayai berlaku pada jam 9 malam (waktu tempatan) semalam, di aras satu bangunan itu, berhampiran Tondela.

"Ketika kejadian kebanyakan mangsa sedang bermain kad, Sueca, satu permainan yang popular di Portugal sambil menonton perlawanan bola sepak," katanya.

Datuk Bandar tempatan, Jose Antonio Jesus, berkata kebakaran dipercayai berpunca selepas sebuah dapur kayu di pusat itu meletup lalu melepaskan gas karbon monoksida yang banyak.

Bagaimanapun, perkhidmatan bomba Tondela berkata, kebakaran berjaya dipadamkan dalam tempoh satu jam. - AFP

Berita Harian X