Jumaat, 10 Januari 2020 | 11:09am
Gambar fail, Parlimen Britain. - Foto AFP

Parlimen Britain lulus Brexit

LONDON: Parlimen Britain semalam meluluskan Brexit, membolehkannya menjadi negara pertama keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) hujung bulan ini, yang mengakhiri perbalahan selama beberapa tahun yang menumbangkan dua kerajaan serta memisahkan negara itu.

Dewan Rakyat Britain dipenuhi sorakan selepas Ahli Parlimen meluluskan perjanjian ‘perceraian’ Perdana Menteri Boris Johnson dengan Brussels menerusi 330 undian berbalas 231, sekali gus mengakhiri era drama politik luar biasa dan huru-hara.

Sejak referendum Brexit pada 2016, penggubal dasar kerap bertekak antara satu sama lain mengenai bagaimana, bila serta sama ada Britain perlu meninggalkan rakan dagangan paling rapatnya selepas hampir 50 tahun.

Sesetengah pihak melihat Brexit dengan ketakutan kerana bimbang ia akan menghakis identiti Eropah dan mengubah Britain menjadi negara yang terpinggir dan kurang penting.

Pihak lain pula menerimanya dengan penuh semangat serta melihatnya sebagai peluang ‘mengambil semula kawalan’ daripada pegawai di Brussels dan mengembalikan sebahagian kegemilangan lampau Britain.

Perniagaan dan kerajaan di Eropah, keliru melihat Britain bergelut dengan apa yang dilihat sebagai masalah yang dicetuskan sendiri, berharap Brexit masih boleh dibatalkan.

Bagaimanapun, kemenangan menyeluruh Johnson dalam pilihan raya umum bulan lalu membawa kepada pengakhiran kepada keadaan kelam-kabut itu, memberikan Parti Konservatif kuasa majoriti di Parlimen untuk membolehkan Brexit diteruskan.

Ahli Parlimen memberi restu awal kepada Rang Undang-Undang Perjanjian Pengunduran EU sebelum Krismas, dan kerajaan hanya memperuntukkan tiga hari minggu ini untuk memperincikan teks yang kompleks itu. - AFP

Berita Harian X